
KUCHING: Penyertaan bidang psikologi dalam Skim Pendidikan Percuma (FTES) bukan dibuat secara rawak, sebaliknya sebagai langkah awal kerajaan Sarawak menangani cabaran kesihatan mental yang dijangka semakin serius pada masa hadapan.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, berkata tekanan hidup, kestabilan emosi dan kesihatan mental akan menjadi antara isu utama masyarakat pada masa depan, sekiranya tidak ditangani sejak peringkat awal.
“Ada yang bertanya kenapa psikologi dimasukkan. Pada masa depan, tekanan akan semakin tinggi dan ia akan menjejaskan kestabilan mental. Kita tidak mahu melihat lebih ramai berdepan masalah seperti kemurungan, tekanan emosi, putus asa dan kes bunuh diri,” katanya.
Beliau berkata, kegagalan menangani isu kesihatan mental sejak awal akan menyebabkan peningkatan penyakit mental yang memerlukan perhatian serius.
“Kita akan memerlukan ramai kaunselor dan pakar psikologi yang benar-benar mahir. Sebab itu bidang psikologi dimasukkan dalam skim ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sesi Townhall sempena 9 Tahun Bersama Premier Sarawak yang berlangsung di Pusat Acara Hikmah Exchange, di sini, hari ini.
Menurut beliau, selain psikologi, sebahagian besar bidang pengajian di bawah FTES adalah berasaskan sains bagi memenuhi keperluan pembangunan ekonomi dan teknologi negeri pada masa hadapan.
Pada 1 Disember lalu, Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat, Dato Sri Roland Sagah Wee Inn berkata sebanyak 64 kursus telah diluluskan di bawah FTES menerusi empat institusi pengajian tinggi milik Sarawak iaitu Universiti Teknologi Swinburne, Universiti Curtin Malaysia, Universiti Teknologi Sarawak dan Kolej Universiti i-CATS.
FTES bukan hanya menampung yuran pengajian tetapi juga menyediakan elaun bulanan kepada mereka yang layak untuk membantu perbelanjaan keperluan asas sepanjang tempoh pengajian.
Skim itu menumpukan kepada program ijazah sarjana muda dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM), perubatan, undang-undang, perakaunan, kewangan dan psikologi selaras dengan keperluan pembangunan bakat di Sarawak.
Oleh Shahrul Qaizat