Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • SUKAN
  • PSG dikejutkan kelab Brazil pada Piala Dunia Kelab
  • SUKAN

PSG dikejutkan kelab Brazil pada Piala Dunia Kelab

Utusan Sarawak 7 hours ago

Penyerang Botafogo, Igor Jesus (jersi nombor 99) meraikan gol tunggal kemenangan 1-0 ke atas PSG bersama penyokong pasukannya pada aksi Piala Dunia Kelab FIFA di Stadium Rose Bowl, Pasadena, California.

PASADENA, Amerika Syarikat: Paris Saint-Germain (PSG) dikejutkan dengan kekalahan 0-1 di tangan kelab Brazil, Botafogo pada aksi Piala Dunia Kelab FIFA pagi tadi, dalam pertembungan sengit antara juara Eropah dan Amerika Selatan.

Gol tunggal perlawanan di Rose Bowl, Pasadena dijaringkan oleh pemain antarabangsa Brazil, Igor Jesus pada separuh masa pertama, sekali gus meletakkan Botafogo hampir pasti layak ke pusingan kalah mati.

Juara Perancis itu dilihat sebagai antara pasukan pilihan dalam kejohanan 32 pasukan anjuran FIFA, selepas musim cemerlang mereka yang berakhir dengan kemenangan besar 5-0 ke atas Inter Milan pada final Liga Juara-Juara UEFA bulan lalu.

Namun, harapan PSG untuk mencatat kemenangan yang boleh menyaksikan mereka muncul pasukan pertama mara ke pusingan 16 terakhir dimusnahkan oleh aksi berdisiplin pasukan dari Rio de Janeiro itu.

PSG memulakan perlawanan dengan keyakinan tinggi, meneruskan momentum daripada kemenangan 4-0 ke atas Atletico Madrid dalam aksi pertama Kumpulan B.

Khvicha Kvaratskhelia menguji penjaga gol Botafogo, John seawal minit kedua menerusi rembatan lencong.

Namun ia merupakan peluang terbaik PSG pada babak pertama yang dicemari kekasaran dan pelanggaran kecil yang mengganggu rentak permainan pasukan Eropah itu.

Tiga pemain tengah Botafogo – Marlon Freitas, Gregore dan Allan – bekerja keras untuk menutup ruang buat Vitinha, pemain tonggak PSG yang terkenal dengan kreativiti dan kawalan tempo.

Sebaliknya, Botafogo membuka jaringan hasil gerakan balas pada minit ke-36.

Jefferson Savarino melakukan hantaran lintang sempurna yang menembusi benteng pertahanan PSG dan membolehkan Jesus meluru ke arah gol.

Jesus bijak mengelirukan pertahanan PSG, Willian Pacho sebelum melepaskan rembatan yang sedikit terkena pemain lawan dan menewaskan penjaga gol Gianluigi Donnarumma.

PSG terus menguasai permainan pada babak kedua dan berkampung di kawasan lawan untuk mencari gol penyamaan, namun pertahanan Botafogo bertahan dengan kukuh untuk mengekalkan kelebihan satu gol.

Kemenangan itu meletakkan Botafogo di landasan tepat untuk mara ke pusingan 16 terakhir, dengan satu lagi perlawanan kumpulan menentang Atletico Madrid di Pasadena pagi Selasa depan. – AFP

Continue Reading

Previous: Sepakan ikonik Messi kecewakan FC Porto
Next: RFP 2025 kembali: Kuching, Miri dan Sibu dipilih sebagai lokasi larian

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.