
Marquinhos (tengah) ketika menjaringkan gol pembukaan PSG. Foto AFP
PARIS: Paris Saint-Germain (PSG) meneruskan rentak garang selaku juara bertahan Liga Juara-Juara apabila memulakan kempen baharu dengan menundukkan Atalanta 4-0 di Parc des Princes, awal pagi tadi.
Kapten, Marquinhos hanya memerlukan tiga minit untuk membuka tirai jaringan sebelum Khvicha Kvaratskhelia, Nuno Mendes dan pemain gantian Goncalo Ramos melengkapkan kemenangan bergaya skuad kendalian Luis Enrique itu.
Bradley Barcola gagal menyempurnakan sepakan penalti di hujung babak pertama, namun ia tidak menjejaskan dominasi tuan rumah yang musim lalu membelasah Inter Milan 5-0 dalam aksi final.
PSG seterusnya akan berkunjung ke Camp Nou menentang Barcelona pada 2 Oktober, manakala Atalanta bakal melayan kunjungan Club Brugge sehari lebih awal.
Marquinhos memulakan gerakan gol pertama dengan tekanan tinggi sebelum menyudahkan hantaran rendah Fabian Ruiz untuk menewaskan Marco Carnesecchi.
Selepas beberapa peluang termasuk sepakan Achraf Hakimi yang terkena tiang, Kvaratskhelia meledak gol kedua menerusi rembatan padu enam minit sebelum rehat.
Pada minit ke-51, Barcola menjadi pencetus jaringan ketiga apabila membuka ruang untuk Mendes memperdaya benteng lawan sebelum melepaskan penyudah.
Atalanta yang cuba bangkit tampak hilang arah selepas ketinggalan tiga gol, dan Ramos menutup malam gemilang PSG dengan jaringan lambung kemas pada masa kecederaan selepas kesilapan benteng pelawat.
Namun, kegembiraan PSG sedikit tercalar apabila Joao Neves terpaksa dikeluarkan akibat kecederaan, menambah senarai pemain tonggak yang sudah kehilangan Ousmane Dembele dan Desire Doue.
“Kami cipta banyak peluang dan persembahan ini sangat baik untuk permulaan. Ia malam yang hebat,” kata Enrique.