Oleh: Lokman Hakim
BAGAIMANA harus saya tekankan di sini bahawa terdapat 1001 cara menulis sebuah cerita berbaur falsafah? Sebentar, saya terlalu menokok tambah. 1001 terlalu banyak. Barangkali hanya satu atau dua kaedah sahaja. Atau, bagaimana jika saya nyatakan di sini bahawa terdapat keperluan untuk membaluti falsafah dengan kefahaman menyeluruh sebelum mengendongnya ke dalam sebuah cerita?
Membaca naskhah “Sandiwara Arkitek Membina Rumah Minda” menghadirkan pengalaman pembacaan sebuah naratif yang dipercayai mampu menggagaskan idea besar. Namun barangkali kerana ia harus ditukang untuk dimuatkan dalam ruang akhbar yang terhad maka sekali gus merencatkan gagasan ideanya. Dan ia ditulis untuk memenuhi definisi Keluarga Malaysia yang dinaratifkan mantan Perdana Menteri ke-9, iaitu Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, sekali gus mematikan terus gagasan makna yang hendak diungkapkan. Terdapat usaha untuk memaniskan ceritanya dengan elemen cinta sapioseksual. Namun, perbualan antara dua watak utama, Mohammad Arkheetek dan juga Asmawati kelihatannya sarat padanan metafora yang tidak tepat dan serasa janggal lantas menjerumuskan ia dalam kemelut pseudointelektualiti.
Dalam hal ini, saya melihat kewajaran untuk menegaskan bahawa “rumah minda” yang cuba diperjelaskan dengan perabot-perabot yang subjektif dan tidak berbentuk sifatnya pada mulanya kedengaran menyakinkan. Persepsi, interprestasi, imaginasi dan kreativiti ditanggapi selaku “perabot” rumah minda amat longgar sekali gus memberikan dua sisi berbeza – kelemahan konteks yang longgar dimanfaatkan untuk dijambatkan kepada gagasan Keluarga Malaysia. Memadankan “rumah” dengan “Keluarga” mungkin suatu usaha yang baik, tetapi permasalahan kelonggaran keempat-empat perabot dalam rumah minda itu tetap harus diselesaikan.
Soalnya, bagaimana?
Pertama sekali, kita telusuri karakter pencerita, iaitu Mohammad Arkheetek, seorang arkitek semestinya (lahirnya di dunia untuk menjadi seorang arkitek barangkali). Bukan sekadar itu, dia juga seorang narsistik yang begitu berkeyakinan bahawa dia berjaya menambat hati Asmawati sehingga mampu menaratifkan apa yang gadis itu fikir dan rasa. Lebih daripada itu, Arkheetek juga tahu bila dan bagaimana dia berjaya menambat hati gadis bernama Asmawati.
Saya tidak ada masalah jika Arkheetek seorang lelaki yang perasan kacak dan bijak. Namun, ia jadi masalah apabila sifat perasan itu mempengaruhi gambaran seorang gadis bernama Asmawati. Dialog gadis itu menjadi janggal.
“Mengapakah perabotmu sungguh aneh? Adakah perabot itu wujud juga di dalam mindamu?”
Kita boleh menanggap bahawa Asmawati pada mulanya mengenalpasti rumah minda yang dimaksudkan Arkheteek ialah rumah yang ada dalam kepala lelaki itu sahaja. Tiada transisi jelas bagaimana gadis itu melihat rumah minda itu kini milik mereka berdua seperti yang diungkapkan dalam dialog berikut:
“Bagaimana pula dengan perabot lain yang menghiasi minda kita, rumah kita di kepala kita?”
Di samping itu, saya juga sedikit terganggu dengan cara Arkheteek membahasakan dirinya selaku “aku” dan bukan “saya” apabila bercakap dengan seorang gadis yang lebih muda dan kelihatannya menarik hati Arkheteek. Namun saya berpendapat ia bukan masalah besar kerana bukanlah satu kejanggalan untuk seorang lelaki membahasakan “kau-aku” dengan wanita yang dicintainya. Apa yang bersalahan adalah konsistensi.
Aku ketawa kecil. “Bukan tadi awak telah menjelaskan bentuk rumah impianmu kepadaku?”
“Adakah ia berkenaan ciri-ciri rumah mewah yang aku ingin miliki tadi?”
“Ya.” Aku mengangguk kepalaku. “Sebenarnya, idea rumah yang awak impikan itu dilakarkan dari mana?”
“Dari mindaku.” jawabnya perlahan.
“Bukankah ia tercetus daripada imaginasi yang bertakhta di mindamu?” soalku bersahaja.
Melalui dialog di atas, dapat dilihat penulis langsung tidak menjaga penggunaan “kau-aku” dan “awak-saya”. Kecermatan ataupun pembacaan berulang kali sesudah sebuah karya disiapkan barangkali akan membantu melenyapkan kelemahan ini.
Salah satu lagi kelemahan nyata pda naskhah ini ialah pemilihan penulis untuk menggunakan sudut pandang pertama selaku kaedah penceritaan sedangkan terdapat kecenderungan untuk penulis menerapkan bahawa naratornya itu punya pengetahuan dalam perkara yang tidak patut diketahui dari sudut pandang pertama itu tadi.
“Aku tersenyum mendengar pertanyaannya. Aku dapat merasakan teori rumahku telah mula memikat hatinya. Sungguh berkesan caraku memikat hatinya.”
Soalnya, adalah bagaimana watak utama (pencerita) itu tahu caranya itu berkesan memikat hati si gadis?
“Walaupun kami baru berkenalan selama lima hari, namun isi hatinya masih mencari-cari siapakah aku di hatinya.”
Bagaimana watak utama (pencerita) tahu bahawa hati gadis itu masih mencari-cari siapakah gerangan watak utama dalam hatinya?
Kekeliruan dalam penggunaan sudut pandang pertama dan ketiga ini hanya dapat dielakkan sekiranya penulis memberi perhatian terhadap sudut pandang yang hendak digunakan. Dengan menggunakan logik akal, sudut pandang pertama lazimnya membataskan pengetahuan pencerita terhadap apa-apa yang berlaku di luar pancainderanya sekali gus digunakan untuk menerangkan aktiviti dan isi hati pencerita itu sendiri. Seeloknya penulis menggunakan sudut pandang ketiga untuk mengungkapkan perbualan antara Arkheetek dengan Asmawati tersebut demi memperlihatkan kimiawi perhubungan cinta antara kedua-duanya secara alami.
Secara teknikalnya, penulis tampaknya mempunyai pengalaman pembacaan yang baik melalui susun atur ayat yang kemas dan pemilihan kata yang pelbagai. Memilih naratif yang kedengaran narsistik barangkali menimbulkan rasa jelek pada pembaca, tetapi konsistensi pada sifat narsistik itu membuatkannya menjadi sebuah penceritaan yang baik.
Baik, saya rasa wajar ditekankan apakah konsep “rumah minda” ini punya ruang pembaikan atau sebaliknya. Pembacaan sekali harung menampakkan kelonggaran konteks. Kelonggaran itu menampakkan kesungguhan penulis untuk menelusuri konsep yang hendak dikemukakan dan malangnya, ia begitu semberono. Seolah-olah ditulis demi memenuhi kehendak matlamat penghasilan sebuah cerpen berkonsepkan Keluarga Malaysia sehingga gagal menampakkan transisi organik pada idea yang dikemukakan.
Apabila menyebut tentang transisi organik, saya ingin mengetengahkan pentingnya perlambangan sesuatu subjek yang tidak ada asas konkrit yang digandingkan dengan sesuatu yang konkrit. Sebagai contoh, bolehkah kita menyentuh setiap perabot dalam rumah minda yang disebutkan itu? Mana mungkin kita dapat menyentuh kreativiti. Begitu juga, mustahil untuk melihat bentuk interpretasi. Di samping itu, apabila membentuk metafora, kita harus membina imej yang mengaitkan dua subjek berbeza. Sebagai contoh, lazimnya kita tahu perumpamaan “bagai aur dengan tebing” digandingkan dengan makna “hubungan yang rapat, akrab dan erat” kerana terdapat imej yang sepunya, yakni “sesuatu yang sering terletak berdekatan/bersebelahan”.
Transisi organik ini menuntut pengadaan imej sedemikian yang sepatutnya sudah terpahat dalam minda kebanyakan pembaca. Tanpa imej seumpama itu terbentuk tika membaca sesebuah metafora, akan mematikan konteks metafora itu menjadi kepulan ayat yang hanya dapat difahami pengarangnya.
Dalam naskhah ini, tiada transisi organik dalam pembinaan rumah minda yang tampak tidak meletakkan imej-imej penting yang selari dengan rumah konvensional yang secara fizikalnya diladeni ruang dalaman dengan perabot-perabot yang sahih bentuknya. Andai kata penulis memilih untuk menggandingkan kreativiti, interpretasi, imaginasi dan juga persepsi selaku perabot-perabot sebuah rumah, wajarlah fungsi setiap perabot-perabot seperti meja, kerusi, katil, almari dan sebagainya ditelusuri falsafahnya supaya dapat dibina menjadi imej-imej yang akan menghubungkait keempat-empat subjek yang dibangkitkan penulis.
Sebagai contoh, sebuah kerusi. Kita faham bahawa ia digunakan untuk duduk. Untuk menghilangkan penat akibat berdiri. Ia juga berfungsi selaku alat untuk menenangkan tubuh. Apabila tenang, minda akan dapat memikir sesuatu yang jernih dan lebih mendalam. Dalam erti kata lain, kerusi boleh dikatakan selaku pencetus pemikiran.
Bagaimana pula dengan meja? Ia juga sejenis alat yang memudahkan penghuni rumah – ia boleh digunakan untuk meletak barang, makanan, buku nota dan apa-apa jua objek yang menuntut pengamatan secara terus penggunanya pada waktu khusus.
Almari pula boleh dilihat selaku perabot yang digunakan untuk menyimpan sesuatu. Begitu juga dengan rak yang digunakan untuk meletak objek-objek khusus yang lazimnya terpamer nyata untuk mudah dicari dan dilihat penggunanya.
Lalu cuba kita ambil contoh gandingan berikut:
- Kerusi + imaginasi
- Meja + persepsi
- Almari + interpretasi
- Rak + kreativiti
Dengan menggabungkan subjek dengan objek seperti di atas, kita akan dapat melihat “rumah minda” sebagai suatu objek yang lebih meyakinkan selaku sebuah rumah– lalu lebih mudah untuk mencipta perkaitan yang melekat dalam kepala pembaca. Menghubungkan satu subjek abstrak dengan objek nyata akan memberinya fungsi fizikal yang bertindakbalas dengan pancaindera sekali gus efek mengesankan pada intelektual pembaca.
Sebagai contoh, kerusi imaginasi memberikan kita sebuah kerusi yang barangkali apabila digunakan untuk duduk, ia akan menyalurkan imaginasi demi imaginasi. Meja persepsi pula menghadirkan suatu hidangan persepsi yang tidak diketahui enak atau tawar melainkan menyajikan apa-apa saja di permukaannya tanpa bias; seperti lazimnya meja yang tidak boleh memilih apa-apa subjek atau objek yang akan berada di atasnya.
Justeru, saya melihat elemen pseudointelektualiti dalam pemilihan perkaitan antara arkitektur, rumah minda dan konsep Keluarga Malaysia. Pada mulanya ia menampakkan sebuah premis surealisme yang menjanjikan pembaharuan pada gaya pemikiran tetapi semakin ditelusuri pembacaan, semakin dangkal elemen intelektualiti yang cuba diketengahkan. Kedangkalan ini semakin direncatkan pula dengan elemen sapioseksual yang sarat narsisme watak utamanya sehingga mengganggu pembacaan.
Pseudointelektualiti hanya dapat dielak sekiranya penulis lebih menekuni bahan bacaannya dengan membuat rujukan silang beserta bacaan tambahan demi memperluas kefahamannya terhadap sesuatu subjek. Mutakhir ini, pseudointelektualiti merupakan penyakit yang melanda masyarakat kita yang gemar mengulas sesuatu falsafah ilmu meskipun tidak terlatih ataupun belajar secara mendalam terhadap topik atau ilmu yang cuba diulas itu. Namun, kecekapan menyusun naratif membuatkan pseudointelektualiti ini kelihatannya mendukung kebenaran sedangkan hakikatnya ia tidak dibina atas landasan ilmu yang mencukupi.
Dalam buku Sensitiviti dan Kreativiti Pengarang (DBP, 2017), Rahimah A. Hamid menggariskan lima fasa penciptaan seorang pengarang, iaitu fasa sensitiviti dan cerapan, fasa perencanaan dan persediaan, fasa pemendapan, fasa penulisan (iluminasi), fasa penyemakan (verifikasi). Fasa sensitiviti dan cerapan merangkumi hal-hal ketertarikan pengarangan dengan sesuatu bahan atau idea yang meladeni pancainderanya. Fasa perencanaan dan persediaan pula melibatkan perencanaan secara kasar tentang isi, bentuk dan corak penyataan karya yang bakal diciptakan. Fasa pemendapan atau fasa inkubasi pula merangkumi pemendapan bahan dan idea terkumpul ke lapisan bawah sedar, sementara menunggu tempoh matang untuk dijadikan ramuan pengkaryaan. Fasa penulisan pula merupakan suatu fasa yang memperlihatkan bahan ataupun idea termendap tadi sudah cukup matang untuk diberi bentuk yang pelbagai tahap kreativitinya. Manakala fasa terakhir, iaitu fasa penyemakan pula membabitkan proses pembaikpulihan draf karya yang baru sahaja siap ditulis.
Tidaklah dinafikan bahawa cerpen “Sandiwara Arkitek Membina Rumah Minda” ini melalui kelima-lima fasa tersebut. Semestinya penulis menemukan idea atau bahan “rumah minda” ini yang menjentik naluri intelektualitinya. Lalu direncanalah pula idea-idea tersebut agar dapat menjadi sebuah cerita, cuma perencanaannya itu tidak begitu kemas dek kegagalan melihat hubungkait konkrit antara setiap idea yang hendak digarap itu. Oleh itu, proses pemendapan idea ataupun bahan tidak memberi makna apa-apa. Atau tidak mustahil tiada proses pemendapan berlaku kerana nyata sekali terdapat ketidakmatangan dalam kaedah pengungkapan perkaitan antara rumah, perabot, minda dan juga Keluarga Malaysia pada cerpen ini. Lantas, berbekalkan idea dan bahan yang tidak matang, fasa penulisan berlangsung dan bertitik tolak dari situlah berlakunya kecacatan pengkaryaan di luar kesedaran penulis. Saya tidak pasti adakah penulis memasuki fasa penyemakan atau tidak. Barangkali, kecacatan ketara dalam karya ini bukanlah kerana penulis gagal menyemaknya, tetapi penulis tidak tahu bahawa ia merupakan suatu kecacatan.
Oleh yang demikian, dapatlah disimpulkan bahawa penulis mempunyai kesungguhan untuk menulis cerpen tematik bersandarkan konsep Keluarga Malaysia tetapi masih memerlukan kefahaman dalam pembentukan metafora supaya transisi makna dan falsafah dapat bergerak dengan lebih organik. Di samping itu, penulis juga harus lebih berimaginatif dalam menulis dari sudut pandang pertama yang menggunakan pancaindera penceritaan terbatas dari sudut pandang seorang individu sahaja.
Teruskan membaca dan berkarya, semoga berjaya!