KUALA LUMPUR, 1 Nov (Bernama) — Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, dicalonkan Barisan Nasional (BN) untuk mempertahankan kerusi Parlimen masing-masing di Bagan Datuk dan Bera pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Ahmad Zahid yang juga Pengerusi BN pada majlis pengumuman calon BN malam ini, turut mengumumkan Timbalan Presiden UMNO yang Timbalan Pengerusi BN Datuk Seri Mohamad Hasan sebagai calon BN bagi kerusi Rembau, Negeri Sembilan.
Beliau turut mengumumkan dua lagi calon daripada kalangan ‘Top 5’ UMNO iaitu Naib Presiden UMNO Datuk Seri Mahdzir Khalid sebagai calon untuk mempertahankan kerusi Parlimen Padang Terap, Kedah manakala Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin akan bertanding di Kota Tinggi, Johor.
Top 5 merujuk kepada presiden, timbalan presiden dan tiga naib presiden.
Ahmad Zahid mengumumkan Setiausaha Agung BN yang juga Ahli Majlis Tertinggi UMNO Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir dicalonkan untuk bertanding di Parlimen Lumut.
–BERNAMA