KUALA LUMPUR: Menjelang hari penamaan calon Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) pada 5 November ini, beberapa parti dan gabungan politik mula memperkenalkan calon masing-masing bagi kerusi Parlimen secara berperingkat.
Ada bertukar angin ke kawasan baharu, ada juga mempertahankan kerusi dimenangi pada PRU-14, selain terdapat parti masih berteka-teki tentang calon bakal ditampilkan dalam gelanggang pilihan raya kali ini seperti Barisan Nasional (BN) yang dilaporkan akan mengumumkannya dalam masa terdekat.
Setakat ini, DAP telah mengumumkan 16 calon bertanding termasuk tiga penyandang yang bertukar kerusi Parlimen iaitu Yeo Bee Yin dari Bakri, Johor ke Puchong, Selangor; Gobind Singh Deo dari Puchong ke Damansara, Selangor; dan Tengku Zulpuri Shah Raja Puji dari Raub ke Lipis, Pahang.
Parti itu turut mengekalkan penyandang kerusi semasa PRU14 antaranya Cha Kee Chin bagi Parlimen Rasah, Anthony Loke Siew Fook (Seremban), Mordi Bimol (Mas Gading), Dr Kelvin Yii (Bandar Kuching), Alice Lau (Lanang), Oscar Ling Chai Yew (Sibu) dan Chong Chieng Jen (Stampin).
DAP turut menggunakan pengalaman penyandang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di Pahang untuk menggalas pertandingan di peringkat Parlimen negeri itu iaitu Young Syefura Othman yang juga ADUN Ketari di kerusi Bentong, ADUN Tras Chow Yu Hui (Raub) dan ADUN Tanah Rata Chiong Yoke Kong (Cameron Highlands).
DAP turut memperkenalkan tiga muka baharu untuk PRU-15 di Sarawak iaitu Roderick Wong, Tony Chiew dan Laeryy Jabol masing-masing akan bertanding di Sarikei, Bintulu dan Serian.
PKR pula telah mengumumkan 10 calon setakat ini termasuk presidennya, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang akan bertanding di Tambun manakala kerusi disandang Anwar iaitu Port Dickson, akan ditandingi Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Aminuddin Harun.
Penyandang kerusi Simpang Renggam Dr Maszlee Malik pula kekal mempertahankan kerusi yang dimenanginya pada pilihan raya lepas.
Tanpa menamakan kawasan Parlimen yang akan ditandingi, PKR turut mengumumkan bekas Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Zainal Azman Abu Seman dan anak kepada bekas Mursyidul Am PAS Nik Omar Nik Abdul Aziz untuk bertanding di Perak, serta bekas Naib Canselor Universiti Sultan Zainal Abidin (UnisZa) Datuk Dr Hassan Basri Awang Mat Dahan di Pahang.
Pensyarah Kanan di Jabatan Parasitologi Fakulti Perubatan Universiti Malaya Dr Noraishah Mydin Abdul Aziz akan mewakili PKR di Wilayah Persekutuan; bekas Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Zakat Selangor Saipolyazan M Yusop (Selangor); bekas presiden Majlis Belia Malaysia Jufitri Joha (Negeri Sembilan) dan calon berusia 28 tahun, Fathin Amelina Fazlie di Perlis.
Amanah pula mengumumkan penyandang kerusi Shah Alam Khalid Samad untuk bertanding di Titiwangsa, Wilayah Persekutuan; ADUN Permatang Pasir, Pulau Pinang Muhammad Faiz Fadzil di Tampin, Negeri Sembilan; Naib Pengerusi Amanah Negeri Sembilan Datuk Zulkefly Mohamad Omar di Jelebu dan Ketua Angkatan Wanita Amanah Nasional Negeri Sembilan Norwani Ahmat di Jempol.
Warisan telah mengesahkan empat calonnya akan bertanding di Sabah iaitu Bendahari Warisan Bahagian Sipitang Datuk Adnan Puteh di Sipitang; ADUN Bongawan Dr Daud Yusof di Kimanis; serta Ahmad Hassan dan Isnaraissah Munirah Majilis yang masing-masing adalah penyandang kerusi Parlimen Papar dan Kota Belud.
Perikatan Nasional (PN) setakat ini telah mengesahkan empat calon Parlimen iaitu tiga daripadanya adalah penyandang kerusi tersebut iaitu Tan Sri Muhyiddin Yassin (Pagoh), Datuk Mas Ermieyati Samsudin (Masjid Tanah) dan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu (Tambun) manakala Datuk Dr Radzi Jidin pula akan bertanding di Putrajaya.
Sementara itu, penyandang kerusi Parlimen Bentong, Wong Tack yang sebelum ini bertanding atas tiket DAP pada PRU-14 mengumumkan akan menjadi calon bebas untuk mempertahankan kerusi itu pada pilihan raya kali ini.
Gabungan baharu Gerakan Tanah Air terdiri daripada Pejuang, Parti Perikatan India Muslim Nasional (IMAN), Parti Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (Berjasa), Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) pula setakat ini baru menamakan seorang calon iaitu pengerusi penajanya, Tun Dr Mahathir Mohamad bagi kerusi Langkawi.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian bagi PRU-15 pada 19 November, penamaan calon pada 5 November dan pengundian awal pada 15 November. – Bernama