CENDERAMATA… Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah menerima cenderamata semasa melawat tapak pameran
Pesta Daro semalam. Turut Kelihatan Ahmad Johnie Zawawi dan Safiee Ahmad.
DARO: Gabungan Parti Sarawak (GPS) harus menang besar pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) seperti dicapai pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Disember lalu.
Naib Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, tidak mustahil gabungan empat parti itu mampu menakluki semua 31 kerusi dipertandingkan pada PRU-15 nanti.
“Kita harus memberi sokongan kepada semua calon walaupun siapa sahaja asalkan mewakili GPS,” katanya.
Beliau yang juga Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian penangguhan Pesta Daro 2022 di Tapak Pesta, Bandar Baharu Daro di sini semalam.
Turut hadir Ketua Setiausaha Politik Premier Sarawak Fazzrudin Abdul Rahman, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Daro, Safiee Ahmad, Ahli Parlimen Igan Ahmad Johnie Zawawi, ADUN Balingian Abdul Yakub Arbi, ADUN Tellian,Royston Valentine dan Mukah Residen Kueh Lei Poh.
Abdul Karim juga menjangkakan PRU-15 mungkin diadakan dalam tempoh dua hingga tiga bulan akan datang.
Katanya, melihat pada PRN yang lalu, rakyat perlu terus tunjukkan sokongan sama untuk calon GPS/PBB pada PRU-15 nanti.
“Kalau dapat, kita tunjukkan kepada Kuala Lumpur (Kerajaan Persekutuan), kita bersatu di belakang GPS. Kita ada 31 kerusi Parlimen, dan niat kita mahu menang di kesemua 31 kerusi ini.
“Seperti di Mukah dan Igan, ini ialah “heartland” untuk etnik Melanau dan kita mahu melihat penyatuan erat dalam kalangan mereka yang tinggal dalam kawasan ini, baik dari etnik kaum lain yang berbeza, sebagai orang Sarawak,”katanya.
Beliau turut menasihatkan rakyat di kawasan Daro dan sekitarnya supaya terus memberi sokongan padu kepada calon GPS nanti yang akan bertanding kerusi Parlimen Igan.
“Harapan kita agar mereka memberikan sokongan kepada parti yang rapat dengan Sarawak, yang lahirnya dari Sarawak, parti-parti tersebut yang patut kita sokong.
“Saya juga melihat Ahli Parlimen Igan dan ADUN di Daro ini tidak bermasalah dalam bekerjasama,” katanya.
Oleh AZREEN KERIA