APABILA Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) minggu lalu meluluskan usul pindaan Perlembagaan UMNO yang diputuskan parti itu sebelum ini, maka ‘cakap-cakap’ kemungkinan pilihan raya umum ke-15 (PRU-15) diadakan dalam tempoh terdekat semakin rancak.
Ini ditambah pula kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Yaakob Ahad lalu bahawa PRU akan datang sudah semakin hampir. “PRU dah dekat. Dah tak lama dah. Bermakna kita dah kena buat kerja seperti PRU berlaku esok,” kata Naib Presiden UMNO itu kepada anggota Barisan Nasional (BN) ketika Konvensyen BN Selangor di Shah Alam Ahad lalu.
Bila disebut ‘dah dekat’, ‘dah tak lama dah’, bermakna PRU-15 tidak mungkin diadakan tahun depan meskipun tempoh hayat Parlimen atau Kerajaan Persekutuan pimpinan Barisan Nasional (BN) @ UMNO sekarang hanya akan berakhir pada Mei 2023.
Pada 21 Ogos ini pula genap 12 bulan atau setahun Ismail Sabri memimpin negara.
Jika betul PRU-15 diadakan dalam tahun ini, bermakna Ismail Sabri bakal pecah rekod sejarah politik negara sebagai Perdana Menteri paling pendek tempoh memerintah.
Tan Sri Muhyiddin Yassin menyandang jawatan Perdana Menteri selama 17 bulan. Jika pilihan raya tahun depan, maka menjelang Januari 2023, Ismail Sabri bakal menyamai rekod Muhyiddin, cuma berbeza hari.
Ramai juga yang meramalkan PRU-15 kemungkinan diadakan antara Oktober dan November ini. Pembentangan Bajet 2023 pula berkemungkinan awal Oktober ini, sama seperti tahun lalu meskipun ada ‘cakap-cakap’ menyebut ia mungkin diawalkan ke September.
Ura-ura mengenai PRU-15 ini sebenarnya sudah kedengaran sejak lebih dua tahun lalu berikutan episod demi episod tercetus hingga menyaksikan perubahan jawatan Perdana Menteri sebanyak dua kali dalam tempoh 29 bulan membabitkan Muhyiddin dan Ismail Sabri, yang dikaitkan dengan ‘Langkah Sheraton’.
Namun, penganalisis politik berpendapat PRU-15 perlu disegerakan demi kestabilan kerajaan sekali gus membolehkan negara memberi tumpuan memulihkan ekonomi ekoran keadaan rakyat kian tertekan dengan kenaikan kos sara hidup serta inflasi.
Pensyarah Sosiologi Politik dari Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan, Universiti Sains Malaysia, Profesor Dr Sivamurugan Pandian dipetik sebagai berkata, jika keadaan politik negara stabil, kerajaan tidak perlu memikirkan dua keadaan iaitu politik dan ekonomi yang tidak menentu.
Namun, bagi parti pembangkang, PRU-15 tidak perlu dibuat segera dengan dakwaan bahawa Perdana Menteri dilihat tunduk kepada tekanan ‘kluster mahkamah’ dalam UMNO jika mengadakan pilihan raya dalam tempoh terdekat.
Beberapa pilihan raya umum sebelum ini pernah diadakan segera atau lebih awal daripada tempoh matang apabila berlaku sesuatu krisis kepemimpinan dalam negara, membabitkan parti pemerintah.
Contohnya PRU 1999 diadakan setahun selepas pemecatan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Timbalan Perdana Menteri. Tempoh Parlimen hanya akan berakhir pada Jun 2000.
Keadaan politik ketika itu agak goyah setelah pemecatan Anwar pada September 1998 dan Tun Dr Mahathir Mohamad selaku Perdana Menteri tidak menunggu lama untuk mengadakan pilihan raya.
Keadaan sama juga berlaku pada 2008, apabila timbul isu kos sara hidup dan pertembungan dalam UMNO menyebabkan Perdana Menteri ketika itu, Tun Abdullah Ahmad Badawi membuat keputusan mengadakan pilihan raya umum, lebih awal.
Ketika itu, selain perbalahan terbuka antara Dr Mahathir dan Ahmad Badawi atau Pak Lah, kenaikan kos sara hidup yang mendadak berikutan kenaikan harga minyak, tol, pengangkutan awam dan barang keperluan harian menyebabkan rakyat marah.
Bayangkan, pada Jun 2008, kerajaan menaikkan harga minyak dan diesel secara mendadak, dengan harga petrol dinaikkan sebanyak 78 sen seliter kepada RM2.70 seliter (kenaikan 40%) manakala harga diesel turut dinaikkan sebanyak RM1 kepada RM2.58 seliter daripada RM1.58. Rakyat marah dan kecewa.
Keputusannya PRU 2008? Prestasi BN merudum apabila buat kali pertama hilang majoriti dua pertiga dalam Parlimen, sedangkan pada PRU 2004 sebelum itu, BN mencatat prestasi paling cemerlang dengan menang 198 kerusi, manakala pembangkang cuma menang 20 kerusi.
Keputusan PRU 2008 itu juga menyaksikan beberapa menteri dan timbalan menteri mengalami kekalahan mengejut. Lebih perit pembangkang menang di Kelantan, Pulau Pinang, Kedah, Perak dan Selangor.
Keadaan negara selepas PRU 2004 sehingga PRU 2008 menyaksikan rakyat dibebani dengan kenaikan kos hidup yang mendadak, ditambah pula dengan kenaikan harga petrol yang melampau tinggi.
Adakah keadaan kenaikan sara hidup sekarang sama seperti dirasai pada 2008? Apakah kekalutan politik 2008 sama seperti senario ketidakstabilan politik sekarang?
Oleh itu dalam setiap perkiraan, perlu diselitkan pengajaran daripada sejarah lalu dan kaji, buat perbandingan serta mengatur strategi baharu.
Politik Sarawak dibawah pimpinan BN sebelum ini pun pernah berdepan ujian paling getir pada pilihan umum negeri (PRN) 1987.
Pada 1987 itu, tercetus episod pahit dalam sejarah politik Ketua Menteri ketika itu, Tun Abdul Taib Mahmud (kini TYT) apabila bapa saudaranya. Tun Abdul Rahman Ya’kub dikatakan mahu menggulingnya.
Peristiwa itu kemudian dikenali sebagai peristiwa ‘Ming Court’, mengambil sempena nama hotel di Kuala Lumpur – tempat berkumpulnya sekumpulan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dari Sarawak untuk menjatuhkan Abdul Taib.
Abdul Taib terpaksa membubar Dewan Undangan Negeri (DUN) lebih awal dan selamat apabila menang pilihan raya negeri tetapi dengan majoriti tipis.
BN hanya menang 28 daripada 48 kerusi DUN. Populariti BN Sarawak menurun daripada 59.17% pada 1983 kepada 55.24% pada pilihan raya 1987.
Peristiwa Ming Court adalah usaha rampasan kuasa politik yang bermula pada 1983, berkembang menjadi krisis politik penuh ketika pilihan raya negeri 1987, dan berakhir selepas Persatuan Rakyat Malaysia Sarawak (PERMAS) dibubarkan pada 1991.
Berbalik kepada PRU-15, tumpuan sudah pasti terarah kepada Perdana Menteri. Ada yang kata petunjuk awal PRU-15 apabila Jabatan Pendaftaran Pertubuhan baru-baru ini meluluskan usul pindaan Perlembagaan UMNO.
Ini bermakna, UMNO tidak perlu mengadakan pemilihan sebelum Disember ini, sebaliknya hanya berbuat demikian enam bulan selepas PRU-15.
Dalam UMN0 hatta parti lain sekalipun, tanpa tandatangan Presiden (Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi), seseorang tidak boleh bertanding sebagai calon rasmi parti itu dan surat perakuan ini perlu ditunjukkan pada hari penamaan calon di hadapan Pegawai Pilihan Raya.
Ini bermakna, secara teorinya Ismail Sabri boleh sahaja diketepikan sebagai calon PRU-15 andai berlaku pengeseran yang teruk dalam UMNO.
Berasaskan faktor inilah, ramai percaya Ismail Sabri dilihat akan ‘tunduk’ kepada desakan partinya terutama Ahmad Zahid dan Datuk Seri Najib Razak andai menyegerakan pilihan raya.
Andai PRU-15 diadakan tahun depan, bermakna pemilihan dalam UMNO perlu diadakan Disember ini. Apakah Ismail Sabri selaku Perdana Menteri akan cuba mencabar Zahid Hamid bagi merebut jawatan Presiden UMNO dalam saingan ‘do or die’?.
* Penulis adalah Penasihat Editorial Eksekutif Utusan Sarawak