BARANGKALI sebahagian masyarakat negara ini sudah bosan dengan dunia politik, setelah melihat karenah sesetengah ahli politik, secara berterusan sejak empat tahun lalu.
Mereka mengharapkan keadaan itu akan reda sebaik selesai Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) Sabtu lalu, dengan harapan sebuah kerajaan baharu yang memberi nafas baharu dibentuk menjelang awal pagi Ahad, manakala pada Isnin pula Perdana Menteri ke-10 mengangkat sumpah.
Namun, disangka panas sampai ke petang, rupanya ribut petir berdentum di tengah hari. Andai seniman Nordin Ahmad, masih hidup dan melihat situasi sekarang, mungkin ada ‘Kajang Pak Malau 2’ dinukilkannya.
Rakyat mengharapkan sebuah kerajaan yang stabil dapat ditubuhkan. Tetapi bukankah rakyat sendiri yang memilih begitu?
Nasib baik Akta Anti Lompat Parti yang sebulat suara disokong 209 Ahli Parlimen di Dewan Rakyat pada 28 Julai 2022 dan diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong 31 Ogos 2022, sudah berkuatkuasa dengan rasmi pada 5 Oktober lalu.
Jika tidak, bayangkan akan terlompat dan meloncat banyak ‘katak’ seperti musim hujan. Bangau entah ke mana, kerbau lagi entah ke mana. Ini bukan persepsi tapi realiti kerana pernah terjadi.
Kebuntuan membentuk sebuah Kerajaan Persekutuan yang baharu itu, disebabkan parlimen tergantung. Orang putih kata ‘hung parliament’, sekali gus juga kesukaran untuk menampilkan pemegang jawatan Perdana Menteri secara mutlak.
Memang ada pihak meramalkan keadaan seperti itu bakal berlaku pada PRU-15 ini, meskipun tiga parti gabungan utama iaitu Pakatan Harapan (PH), Perikatan Nasional (PN) dan Barisan Nasional (BN), masing-masing yakin untuk mencecah angka kemenangan 112 kerusi Parlimen.
Misalnya, dua hari sebelum pengundian minggu lalu, penyelidik dan penganalisis politik Asia Tenggara, Bridget Welsh awal lagi meramalkan parlimen tergantung kerana tiada kepastian yang jelas senario politik semasa.
“Kita sedang bergerak ke situasi di mana gabungan kadang-kadang perlu dibentuk selepas pilihan raya, kita sudah ada dua Dewan Undangan Negeri (DUN) tergantung, di Perak dan Kedah (sebelum ini) dan apa yang berlaku ialah parti-parti dapat bersatu, bekerja, menyelesaikan masalah pembentukan kerajaan.
“Saya fikir begitu juga apa yang akan berlaku, jika perkara ini berterusan seperti sekarang. Lazimnya presiden, raja atau sultan peringkat negeri, akan mengarahkan gabungan yang mempunyai kerusi terbanyak, memberi mereka pilihan untuk membentuk kerajaan.
“Parlimen tergantung adalah perkara biasa. Ia mengambarkan bahawa rakyat mempunyai pilihan yang berbeza,” katanya ketika muncul dalam program Malaysia Memilih di sebuah stesen televisyen Khamis lalu, dua hari sebelum hari mengundi PRU-15.
Senario Parlimen tergantung berlaku di banyak negara. Di Britain, selepas Perdana Menteri mewakili Parti Konservatif, Ted Heath hilang majoriti pada pilihan raya 1974, Parti Buruh mendapat kerusi terbanyak, iaitu 301 kerusi (jumlah majoriti mudah ialah 318) dijemput untuk menubuhkan kerajaan.
Ia bermakna wujud satu konvensyen Perlembagaan di Britain dalam keadaan Parlimen tertangguh.
Namun, Malaysia boleh menggunakan amalan Perlembagaan berkenaan tanpa terikat dengannya. Justeru, Yang di-Pertuan Agong menitahkan setiap blok parti mempunyai majoriti menyembahkan jumlah sokongan Ahli Parlimen melalui Speaker Dewan Rakyat untuk ditentukan siapa layak dilantik sebagai Perdana Menteri.
Tidak pernah dalam sejarah berlaku Parlimen tergantung selepas sesuatu pilihan raya umum di negara kita. Yang terjadi ialah pada pertengahan tempoh selepas PRU-14 pada 2018, hingga membawa pertukaran jawatan Perdana Menteri pada Februari 2020 dan Ogos 2021.
Itu disebabkan ‘lompat kijang’ yang semua dah tahu.
Nescaya, episod 2020 dan 2021 kembali menjelma yang memaksa Yang di-Pertuan Agong menggunakan kuasa melantik Perdana Menteri mengikut 43(2)(a) dan 40(2) Perlembagaan Persekutuan, sekali lagi.
Malaysia mengamalkan sistem Westminster tetapi banyak konvensyen Perlembagaan Westminster menjadi sebahagian peruntukan Perlembagaan, tetapi Malaysia tidak terikat dengan amalan Perlembagaan tidak bertulis di Britain.
Apapun, rakyat sudah selesai menjalankan tanggungjawab untuk mengundi dalam amalan sistem demokrasi berparlimen. Sekarang pemimpin yang mereka pilih perlu menyelesai masalah mereka, bukan lagi masalah rakyat.
Namun, bukan sesuatu yang mudah untuk merungkai permasalahan. Ego, enggan berkorban, balas dendam, soal maruah, soal penyokong tegar semuanya berlegar dalam kepala pemimpin parti gabungan masing-masing. Akhirnya nanti, seperti kata orang… dalam politik kawan boleh jadi lawan, lawan boleh jadi kawan.
Rakyat memerhati, rakyat menghadam, rakyat bersabar. Bila berkempen, semua jaja nama rakyat… demi rakyat. Bila menang, ikutlah kehendak rakyat, bukan kehendak sendiri.
Rakyat sudah keletihan dengan episod krisis demi krisis selama ini terutama di seberang Laut China Selatan. Rakyat mengharapkan keadaan kembali reda dan menumpukan kepada isu rakyat setelah berakhirnya era pandemik Covid-19.
Selepas ini, setelah kerajaan baharu dibentuk, perdana menteri dilantik, jalankanlah amanah sebaik mungkin. Masalah ekonomi, kos sara hidup, isu pengangguran – semuanya perlu diberi perhatian khusus.
Buka episod baharu selepas PRU-15. Ketika negara lain berlumba-lumba untuk mengukuhkan ekonomi masing-masing setelah dibadai pandemik Covid-19, Malaysia pula masih ‘berlumba-lumba’ berebut kuasa.
Tiada jaminan keadaan politik akan kembali reda selepas ini. Takkan kedengaran lagi suara ‘bubar parlimen’ pada pertengahan tempoh selepas PRU-15 ini? Tiada jaminan semua akan puas hati apabila B dilantik Perdana Menteri dan bila B dilantik Perdana Menteri, penyokong A pula tidak berpuas hati.
Malah, sekali lagi Raja-Raja Melayu ‘terheret’ sama. Diharap perbincangan Khas Raja-Raja Melayu hari ini bagi Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah mendapatkan pandangan Raja-Raja Melayu berhubung pembentukan kerajaan baharu, dapat menyelesai kekalutan itu.
* Penulis adalah Penasihat Editorial Eksekutif Utusan Sarawak