KENYATAAN Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Mohamad Hasan di Seremban Ahad lalu agak angkuh apabila menyebut BN mampu membentuk Kerajaan Persekutuan secara solo dengan sasaran memenangi majoriti mudah 112 kerusi dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) nanti.
Kebanyakan nitizen terutama dari Sarawak dan Sabah, menempelak kenyataan Mohamad Hasan itu, seolah-olah memperkecilkan peranan ‘king maker’ dari Borneo. Ada nitizen melemparkan sindiran pedas – ‘bila dapat kuasa, tak ingat parti lain tapi bila tak cukup kerusi membentuk kerajaan, baru pandang ke arah Borneo’.
Mohamad Hasan atau Tok Mat lupa keabsahan Perdana Menteri ke-8 (Tan Sri Muhyiddin Yasin) dan Perdana Menteri ke-9 (Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob) hanya boleh disahkan apabila Gabungan Parti Sarawak (GPS) menyatakan pendirian dan memberi sokongan bagi mencukupkan jumlah kerusi untuk membentuk kerajaan minoriti sebelum ini. Maknanya, penyandang kerusi Perdana Menteri ke-8 dan ke-9 mungkin orang lain jika GPS buat pilihan lain ketika itu.
‘Tok Mat’ perlu lebih berhati-hati apabila mengeluarkan kenyataan, seperti juga kenyataannya sebelum ini supaya diadakan Perjanjian Malaysia Baharu bagi menggantikan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63). Kenyataan ini ditempelak oleh pemimpin GPS termasuk Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Tetapi kelmarin Perdana Menteri lebih ‘berlapik’ apabila menyebut bahawa BN sedia berbincang dengan parti lain, termasuk PAS jika tiada parti yang dapat membentuk kerajaan, selepas PRU-15 nanti.
Itu pun, tidak disebut nama parti dari Sarawak dan Sabah, sekali gus memberi gambaran hanya parti politik di Semenanjung akan menjadi ‘dominan’. Hakikatnya, era dominan sudah berlalu.
Kita tidak pasti lagi bagaimana keputusan dan situasi selepas PRU-15 nanti. Apakah GPS sekali lagi akan jadi ‘king maker’ untuk keabsahan Perdana Menteri ke-10?
Tidak salah bagi GPS meletakkan syarat jika mahu mendapat sokongan bagi mencukupkan jumlah kerusi bagi pembentukan Kerajaan Persekutuan dan menyokong Perdana Menteri ke-10.
Antara syarat utama yang boleh diketengahkan ialah penuhi semua tuntutan seperti termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63). Bagaimana dengan jawatan Timbalan Perdana Menteri?
Kini ada tiga gabungan iaitu Perikatan Nasional (PN), PH dan BN. PN adalah gabungan parti BERSATU, PAS, GERAKAN, Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) dan Parti Progresif Sabah (SAPP).
PH pula gabungan Parti Keadilan Rakyat (PKR), DAP dan Parti Amanah Negara (AMANAH). BN pula gabungan UMNO, MCA, MIC dan Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) selain gabungan tersendiri membabitkan GPS di Sarawak dan di Sabah pula ada parti Gabungan Rakyat Sabah (GRS).
Dalam keadaan sekarang, belum jelas parti mana atau gabungan parti mana bakal menang besar atau sekurang-sekurangnya berupaya membentuk Kerajaan Persekutuan baharu nanti setelah ‘era dominan’ berakhir.
Mungkin masa kempen nanti dan setelah setiap parti sudah menampilkan calon dan manifesto masing-masing, kita dapat agak siapa boleh menang.
Perlu gabungan parti
Hari ini, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan mengumumkan tarikh penamaan calon dan hari mengundi serta urusan lain untuk PRU-15.
Betul kata Perdana Menteri bahawa BN sedia berbincang dengan parti lain untuk membentuk kerajaan, kerana nampak seolah-olah kini tiada sebuah parti boleh membentuk kerajaan secara bersendirian.
Jika ada pemimpin PH pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim atau PN pimpinan Muhyiddin untuk bekerjasama dengan parti lain, bagi membentuk kerajaan, juga langkah betul. Terpulang kepada masing-masing ‘bermain catur’. Ini kerana sudah tidak ada parti dominan berupaya membentuk kerajaan secara solo.
Tetapi bagi Abang Johari, GPS ibarat gadis cantik sehingga ramai yang berusaha ‘menguratnya’. Ia kiasan Premier Sarawak mengenai usaha semua pakatan parti politik di Semenanjung yang cuba memujuk GPS menyertai mereka bagi membentuk gabungan menjelang PRU15.
Menurutnya, ketika ini GPS dengan pakatan parti politik di Semenanjung masih dalam ‘fasa bercinta’ (berbaik-baik) dan sedang merancang untuk ‘bertunang’ (mengikat perjanjian).
“Dah nama orang kacak, semua orang ngagak, tapi kinek tuk masih bergerek, belum bertunang lagi. Tapi ada juga yang sudah bertunang boleh putus,” katanya yang membayangkan GPS belum menjalin hubungan kukuh dengan mana-mana pakatan parti politik di Semenanjung.
Abang Johari berkata demikian pada sidang media selepas mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi GPS di Ibu Pejabat Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) di sini, kelmarin.
Dalam keadaan seperti itu juga, peluang terbuka untuk parti baharu andai mereka menang sejumlah kerusi yang pasti turut diintai parti lain bagi membentuk kerajaan.
Buat pertama kali, empat parti baharu akan bertanding dalam PRU-15 iaitu Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA), Parti Pejuang Tanah Air (PEJUANG), Parti Bangsa Malaysia (PBM) dan Gerakan Tanah Air (GTA). Parti-parti ini sudah ada beberapa penyandang kerusi Parlimen akibat ‘lompat kijang’.
GPS
BN kini hanya dianggotai UMNO, MCA, MIC dan Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) berbanding 14 parti komponen sebelum 2018. Sebelum Parlimen dibubar baru-baru ini, gabungan itu mempunyai 42 kerusi termasuk 38 milik UMNO.
Namun, BN ada di Sabah tetapi bukan di Sarawak setelah gabungan parti diketuai Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) meninggalkan BN dan membentuk GPS selepas PRU-14 pada 2018.
Di Sabah, Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan BN Sabah mencapai kata sepakat untuk bekerjasama pada PRU-15 atas dasar tidak mahu terbabit dengan situasi politik di Semenanjung.
Kerjasama menghadapi PRU-15 itu diumumkan Ketua Menteri Sabah yang juga Pengerusi GRS, Datuk Hajiji Noor dan Pengerusi BN Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin.
Kerjasama di antara GRS dan BN Sabah sebelum ini menjadi persoalan memandangkan komposisi GRS merangkumi parti komponen Perikatan Nasional (PN) yang menjadi seteru BN di peringkat Pusat tetapi sama-sama membentuk kerajaan di peringkat negeri.
PN Sabah membabitkan BERSATU Sabah yang diketuai Hajiji, Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) diketuai Timbalan Ketua Menteri, Datuk Dr Jeffrey Kitingan dan Parti Maju Sabah (SAPP) diketuai bekas Ketua Menteri Sabah, Datuk Yong Teck Lee.
Ketiga-tiga parti komponen PN itu membentuk GRS bersama Parti Bersatu Sabah (PBS) dan Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO).
Di Sarawak pula, GPS tanpa kerjasama dengan mana-mana parti, akan bertanding di semua 31 kerusi Parlimen. Sebelum Parlimen dibubar, GPS mempunyai 18 kerusi Parlimen dan daripada jumlah itu, PBB mempunyai 13 kerusi, Parti Rakyat Sarawak (PRS) dua kerusi, Parti Demokratik Progresif (PDP) dua kerusi dan Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) satu kerusi.
Selepas PRU-14 2018, GPS menang 19 kerusi Parlimen, manakala baki 12 kerusi dimenangi DAP (6), Bebas dan PKR.
Bagaimanapun, pada 2019 GPS kehilangan satu kerusi apabila Ahli Parlimen PRS, Datuk Masir Kujat melompat parti menyertai Parti Sarawak Bersatu (PSB) tetapi sejak Mac lalu pula, keluar PSB untuk menjadi Ahli Parlimen Bebas.
PRS kini hanya mempunyai dua Ahli Parlimen iaitu di kerusi Parlimen Hulu Rajang melalui Datuk Wilson Ugak Kumbong dan Kanowit melalui Datuk Aaron Ago Dagang.
Kali ini, selain PH Sarawak, GPS berdepan parti pembangkang tempatan iaitu Parti Bumi Kenyalang (PBK), Parti Sarawak Bersatu (PSB) dan Parti Bansa Dayak Sarawak (PBDS) yang baru-baru ini menjalin kerjasama.
Parti pembangkang lain ialah Parti Aspirasi Rakyat Sarawak (ASPIRASI) dan Parti Sedar Rakyat Sarawak (SEDAR).
* Penulis adalah Penasihat Editorial Eksekutif Utusan Sarawak