MIRI: Parti Rakyat Sarawak (PRS) Kawasan Utara Sarawak mencadangkan supaya dua kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) baharu diwujudkan di Baram dan Limbang menerusi proses persempadanan semula DUN Sarawak.
Menerusi kenyataan hari ini, PRS Kawasan Utara Sarawak berkata cadangan itu membabitkan pewujudan DUN Beluru di bawah kawasan Parlimen Baram dan DUN Medamit di bawah Parlimen Limbang.
Menurutnya, cadangan berkenaan bertujuan memastikan masyarakat luar bandar dan pedalaman mendapat perwakilan yang lebih dekat serta berkesan.
PRS Kawasan Utara Sarawak berkata cadangan itu mengambil kira kajian dan pemetaan awal yang disediakan Pasukan Persempadanan Semula Kawasan Utara pada 2024, termasuk pemetaan kawasan, daerah mengundi dan jumlah pengundi.
Bagi Parlimen Baram, jumlah DUN dicadangkan meningkat daripada tiga kepada empat dengan pewujudan DUN Beluru, selain penyusunan semula DUN Marudi dan DUN Mulu.
Cadangan DUN Beluru melibatkan kawasan mengundi Beluru, Teruking, Long Teru dan Jegan, selain penyusunan kawasan Nabor serta pewujudan Daerah Mengundi Sungai Buri.
Sementara itu, bagi Parlimen Limbang, jumlah DUN dicadangkan meningkat daripada dua kepada tiga dengan pewujudan DUN Medamit, selain penyusunan semula kawasan DUN Bukit Kota dan DUN Batu Danau.
Cadangan DUN Medamit mengambil kira kawasan Medamit, Lubai, Ukong, Berawan dan kawasan sekitarnya, tertakluk kepada penentuan sempadan akhir oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
PRS Kawasan Utara Sarawak berkata jumlah pengundi tidak seharusnya menjadi satu-satunya ukuran dalam proses persempadanan semula, sebaliknya realiti geografi Sarawak perlu turut diberikan perhatian.
Menurutnya, masyarakat di Baram dan Limbang tinggal berselerak di kampung, rumah panjang serta penempatan pedalaman, dengan jarak perjalanan yang jauh selain berdepan cabaran dari segi akses jalan raya, telekomunikasi dan kemudahan asas.
“Selain jumlah pengundi, penentuan kawasan DUN juga perlu mengambil kira keluasan geografi, taburan penduduk, bilangan kampung dan rumah panjang, jarak antara penempatan, aksesibiliti serta jaringan pengangkutan.
“Keadilan perwakilan bukan sahaja mengenai berapa ramai pengundi yang diwakili seseorang ADUN, tetapi juga sejauh mana dan betapa sukarnya wakil rakyat perlu bergerak untuk sampai kepada masyarakat yang diwakilinya,” menurut kenyataan itu.
PRS Kawasan Utara Sarawak menegaskan cadangan pewujudan DUN Beluru dan DUN Medamit bukan semata-mata bertujuan menambah kerusi politik, sebaliknya bagi mendekatkan kerajaan kepada rakyat, meningkatkan keberkesanan perwakilan serta mempercepatkan penyampaian pembangunan.
Sehubungan itu, PRS Kawasan Utara Sarawak berharap kerajaan Sarawak dan SPR memberikan pertimbangan serius terhadap kedua-dua cadangan berkenaan dalam proses persempadanan semula DUN Sarawak.
“Pembangunan yang seimbang memerlukan perwakilan yang seimbang.
“Ini bukan sekadar soal menambah kerusi DUN, tetapi soal mendekatkan kerajaan kepada rakyat, memastikan suara masyarakat pedalaman didengar dan memastikan pembangunan sampai secara lebih adil dan berkesan,” menurut kenyataan itu.
Oleh Liong Chai Ling




