SIMANGGANG: Parti Rakyat Sarawak (PRS) menghormati tindakan Ahli Parlimen Julau, Larry Sng yang bertindak keluar Parti Keadilan Rakyat (PKR) untuk menyatakan sokongan kepada Kerajaan Perikatan Nasional (PN).
Bagaimanapun semua pihak harus sedar bahawa hanya PRS yang boleh memilih dan menamakan calon mereka untuk bertanding di kerusi Parlimen Julau pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang dan bukannya parti lain.
“Beliau (Larry Sng) mempunyai hak untuk bertindak keluar daripada PKR dan menyatakan sokongan penuh terhadap PN dengan menyerahkan akuan bersumpah (SD) kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
“Kita tidak tahu sebab beliau berbuat demikian. Mungkin beliau mempunyai asalan yang tersendiri untuk bertindak menyokong Kerajaan PN pimpinan Tan Sri Muhyiddin pada masa sekarang,” kata Ketua Pemuda PRS, Datuk Snowdan Lawan.
Beliau yang juga Menteri Muda Belia dan Sukan berkata demikian ketika ditemui media sebaik sahaja selesai menghadiri sesi suntikan vaksin Covid-19 di wad kecemasan Hospital Sri Aman di sini pada lewat petang Isnin lepas.
Selain itu Snowdan juga yakin bahawa Larry tidak akan diterima semula untuk menyertai PRS bagi mempertahankan kerusi parlimen itu pada masa akan datang berikutan pemecatannya dari parti pada tahun 2007.
“Larry dipecat oleh PRS setelah berlaku pergolakan dalam pimpinan parti. Oleh demikian saya yakin bahawa PRS tidak mahu pergolakan seperti itu berulang kembali dengan bertindak menerimanya semula (ke dalam parti) pada masa akan datang,” kata beliau.
Sementara itu beliau ketika ditemu bual media juga menyatakan kesediaan PRS untuk mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Balai Ringin yang disandangnya ketika ini pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Ke-12.
“Jentera PRS bukan sahaja sudah melakukan persiapan di kawasan DUN Balai Ringin semenjak dua tahun lepas malah turut melakukan perkara yang sama di 10 lagi kerusi DUN milik parti ini.
“Justeru kami akan berjuang untuk terus mempertahankan kerusi -kerusi DUN ini pada PRN-12 akan datang agar agenda pembangunan Kerajaan Sarawak dapat terus disampaikan kepada rakyat dari masa ke semasa,” kata Snowdan.
Turut hadir, Menteri Muda Belia Kesejahteraan Komuniti, Datuk Mong Dagang, ADUN Bukit Begunan, Datuk Mong Dagang, Residen Sri Aman, Indit Bangai dan Timbalan Residennya, Elvis Didit.
Pengarah Hospital Bahagian Sri Aman, Dr. Hazwani Mohd Yusop dan Pegawai Kesihatan Bahagian Sri Aman, Dr. Euphrasia Bari juga hadir sama di wad berkenaan untuk memantau proses suntikan vaksin terhadap wakil rakyat serta pegawai kerajaan di situ.
Oleh VALENTINE NGUMBANG