KUCHING: Sebuah kereta jenis Proton Waja terbakar hampir 100 peratus di persimpangan lampu isyarat Metro city, Jalan Matang di sini, hari ini.
Pusat Gerakan Operasi (PGO) Bomba Sarawak menerima panggilan pada 2.48 petang tadi lalu menggerakkan tujuh anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Petra Jaya ke lokasi kejadian.
Komander Operasi, Pegawai Bomba Kanan Joseph Diea berkata, pemandu kereta terbabit sempat menyelamatkan diri selepas kereta yang dipandunya tiba-tiba terbakar.
“Pasukan bomba bertindak mengawal kebakaran dengan menggunakan satu aliran salur bantu sehingga api padam sepenuhnya.
“Tiada sebarang kecederaan dilaporkan dan punca kebakaran masih dalam siasatan,” katanya.
Oleh SHAHRUL QAIZAT