KUALA LUMPUR: Proton Holdings Bhd menyasar untuk menggandakan jualan eksportnya dalam tempoh 12 bulan dengan mengandaikan aktiviti eksport tidak terjejas oleh sekatan untuk mengawal pandemik Covid-19 di seluruh dunia.
Syarikat itu berkata, sasaran tersebut ditetapkan selepas aktiviti besar-besaran pada Disember 2020, termasuk bermulanya operasi pemasangan tempatan di Kenya dan pelancaran Proton X70 di Pakistan yang menyaksikan sumbangan pertumbuhan jualan eksport sebanyak 50 peratus berbanding jualan tempatan hanya sebanyak 8.8 peratus.
“Model yang akan menerajui pertambahan jualan adalah model Proton paling popular, Proton Saga, diikuti Proton X70 dan Proton X50 yang akan diperkenalkan ke pasaran antarabangsa secara beransur-ansur,” katanya dalam satu kenyataan baru-baru ini.
Pengarah bahagian antarabangsanya Steven Xu berkata, Proton perlu meningkatkan jumlah pelanggannya dan mencari peluang jualan di negara lain dalam usaha untuk berkembang pada masa depan, walaupun pada masa sama menerajui jualan di pasaran tempatan adalah matlamat utama.
“Pasaran eksport adalah penting bagi mencapai matlamat jangka panjang Proton untuk menjadi jenama automotif ketiga terlaris di ASEAN menjelang 2027,” katanya.
Beliau berkata syarikat automotif itu telah berjaya meningkatkan jumlah eksportnya, memasuki pasaran baharu seperti Kenya dan melancarkan Proton X50 di Brunei hampir dua bulan setelah pelancarannya di Malaysia, oleh itu terdapat banyak perkara positif yang harus diambil kira pada tahun ini.
“Proton Saga kekal menjadi model popular di kebanyakan negara kerana ketahananya, lebih praktikal dan lebih nilai untuk wang, justeru untuk menaik taraf imej jenama kami, adalah penting untuk model baharu kami dieksport,” katanya.
Mengenai kerjasama dengan rakan niaga asing, Ketua Pegawai Eksekutif Proton Edar, Roslan Abdullah berkata, rangkaian produk terbaharunya dan yang dikembangkan bersama dengan Geely memberikan peluang dengan membuka pemilikan ke lebih banyak negara dan mencari pasaran siap di banyak negara.
“Dengan bekerja sama dengan rakan kongsi asing, kami berhasrat untuk menyampaikan mesej secara konsisten di semua pasaran eksport kami dan akhrinya, ini akan menjadikan jenama ini lebih mudah untuk berdiri di lebih banyak negara,” katanya.- Bernama