KUALA LUMPUR: Proton Holdings Bhd mencatatkan jualan kenderaan sebanyak 12,666 unit bagi pasaran domestik dan eksport pada Mac, meningkatkan jumlahnya kepada 39,150 unit bagi suku pertama (S1) dengan jualan eksport 63 peratus lebih tinggi dari tahun lepas.
Dalam satu kenyataan hari ini ia berkata, bahagian pasaran Proton dianggarkan pada 19.3 peratus, kedua tertinggi dalam kalangan semua jenama automotif.
“Selepas mencatat rekod jualan baharu pada 2023, jumlah volum industri (TIV) bagi pasaran automotif Malaysia dianggarkan pada 202,492 unit untuk tiga bulan pertama 2024, menyamai pertumbuhan 5.1 peratus,” kata pengeluar kereta nasional itu.
Ketua Pegawai Eksekutif Proton Edar Roslan Abdullah berkata suku pertama 2024 berakhir secara positif bagi Proton. Tanpa faktor luaran yang menggalakkan pertumbuhan jualan tahun ini, angka yang dicapai menawarkan bacaan permintaan pasaran yang lebih tepat.
Industri automotif di Malaysia terus rancak, dan ini terbukti dengan pertumbuhan keseluruhan dalam TIV.
“Untuk sepanjang tahun ini, Proton akan mencari pertumbuhan jualan yang berterusan dengan bekerjasama rapat dengan vendor kami untuk menghasilkan lebih banyak unit model terlaris seperti Proton Saga dan Proton S70, sambil terus membina volum jualan eksport kami.
“Kami yakin dapat memenuhi sasaran pertumbuhan kami sambil turut berusaha ke arah komitmen yang lain seperti pembangunan dan pengenalan model kenderaan elektrik (EV) kami sendiri pada masa hadapan,” katanya.
Proton memberitahu bahawa jualan Proton Saga membuktikan kenyataan itu dengan 18,247 unit terjual dalam tiga bulan pertama tahun ini, model itu mencatatkan jualan suku pertama terbaik dalam tempoh 12 tahun.
Bagi Mac, sebanyak 5,906 unit telah dijual, termasuk 93 unit untuk pasaran eksport, meletakkan model itu di tempat kedua dalam pasaran sedan segmen A yang kompetitif.
Proton S70 telah membuka segmen pasaran baharu untuk syarikat itu, dengan 2,072 unit dijual pada bulan Mac (35 unit dieksport) menjadikan jumlah jualan untuk S1 kepada 5,828 unit.
Proton X50 mencatat jualan sebanyak 1,626 unit, manakala Proton X70 menyaksikan peningkatan sebanyak 35.5 peratus berbanding bulan sebelumnya dengan 603 unit terjual.
Kenderaan tenaga baharu (NEV) pertama syarikat itu, Proton X90, mengekalkan prestasi kukuhnya dalam pasaran SUV segmen D dengan 326 unit dihantar kepada pelanggan pada Mac.
Bagi Proton Persona, ia terjual sebanyak 1,665 unit pada Mac menjadikan jumlah S1 kepada 5,370 unit dan menempatkannya sebagai sedan segmen B kedua paling popular di negara ini.
“Bagi model Iriz, ia mencapai jualan sebanyak 468 unit pada Mac dan 1,534 unit bagi suku tersebut untuk mengekalkan kedudukan keempat dalam segmen pasarannya,” kata Proton.
Sementara itu, Proton telah melancarkan Proton X50 dan Proton X90 di Trinidad dan Tobago, yang akan membantu meningkatkan permintaan dan keterlihatan jenama itu di negara Hindia Barat.
“Ia merupakan satu lagi langkah dalam usaha pertumbuhan jualan eksport Proton kerana kami ingin meningkatkan sumbangan jualan eksport kepada jumlah jualan tahunan kami,” kata Roslan. – Bernama