JULAI, Ogos dan September adalah bulan istimewa dalam sejarah Sarawak. Ini kerana ia bermula dengan pembentukan kerajaan sendiri Sarawak pada Julai, manakala Ogos pula kita merayakan satu tarikh signifikan dalam kalendar sejarah Malaysia apabila Tanah Melayu merdeka yang membawa rentetan kepada pembentukan Malaysia.
Walaupun jadual awal 31 Ogos diwartakan sebagai hari pembentukan Malaysia pada 1963, ia terpaksa ditunda kepada 16 September 1963.
Secara umumnya bulan-bulan yang dinyatakan ini adalah bulan mengingati perjuangan bagi pemimpin dan rakyat Sarawak untuk membebaskan daripada kawalan dan penjajahan kuasa asing.
Sebelum berlakunya usaha ini, sudah ada pelbagai gerakan menentang penjajah sejak abad ke-19 lagi. Hal ini menjadi satu iktibar dan panduan kita dalam kehidupan hari ini dan mendatang. Apa yang menariknya gerakan penentangan ini difilemkan sebagai satu tatapan generasi hari ini.
Semangat difilemkan
Baru-baru ini negara kita dilanda semacam semangat lama yang kembali menusuk masuk dalam masyarakat Malaysia termasuk Sarawak. Hal ini ditonjolkan dengan penayangan filem Mat Kilau arahan Syamsul Yusof.
Penayangannya bukan setakat di pawagam dalam Malaysia, malah juga di Brunei dan Singapura. Tayangan ini dalam tempoh 33 hari berjaya meraih tiket jualan kira-kira RM90 juta. Sepanjang tayangan filem ini juga ada yang memberi pelbagai ulasan dari sudut postif, sebaliknya ada juga yang tidak senang.
Saya teringat apabila filem the Patriot dikeluarkan pada 2000 yang mengisahkan perjuangan rakyat Amerika Syarikat untuk merdekakan negara mereka. Filem ini mendapat ulasan yang positif dan negatif. Bagi orang Amerika Syarikat ia menyemarakkan semangat patriotisme mereka tetapi pihak penjajah pula sebagai pihak yang dilihat dari sudut berbeza.
Namun demikian saya tidak akan mengulas filem Mat Kilau kerana tumpuan wacana kali ini lebih kepada usaha melihat bagaimana semangat menentang penjajah ini berkembang di Sarawak. Sesuatu sifat biasa bagi bangsa atau kaum yang dijajah apabila ia ditekan dan dikawal, akan membawa kepada penentangan.
Perjuang setempat
Hal ini berlaku di setiap negara yang dijajah seperti Kebangkitan Tacky (1760) di Jamaica, Halbar Dongar (1774) di India, Perang Jawa (1825) di Indonesia, Kebangkitan Hmong (1896) di Laos, Kebangkitan Maji Maji (1905) di Tanzania dan Kebangkitan Banbata atau Zulu (1906) di Afrika Selatan serta Insiden Beipu (1907) di Taiwan. Kebangkitan ini bersifat tempatan dan mempunyai sebab-sebab tersendiri dalam perjuangannya.
Walaupun ada pelbagai sebab yang tidak menunjukkan gerakan ini sebagai menyeluruh di seluruh negara, ia telah menjadi pencetus kepada gerakan nasionalisme seterusnya oleh bangsa-bangsa yang dijajah.
Hal ini berlaku di negara kita seperti Dol Said di Naning, Mat Kilau di Pahang, Hassan Munas di Kelantan, Mat Salleh di Sabah dan Abdul Rahman Limbong di Terengganu.
Walaupun pejuang-pejuang ini hanya bersifat setempat, mereka wajar juga diiktiraf sebagai bibit-bibit awal kepada perjuangan menentang penjajah dan seterusnya menuntut kemerdekaan.
Hal ini ditegaskan oleh beberapa sarjana sejarah yang mengaitkan perjuangan awal mereka ini dengan pelbagai istilah. Ada sesetengah pihak menganggap ia sebagai gerakan protes terhadap penjajah. Ini kerana mereka menentang penjajahan yang mengawal mereka dengan peraturan-peraturan yang menganggu kehidupan mereka.
Malah penjajah menggunakan paksaan ke atas peraturan tertentu sehingga membawa kepada rasa kurang senang yang akhirnya berakhir dengan pertumpahan darah.
Bagi sejarawan Indonesia iaitu Sartono Kartodirjo pula bila membahaskan isu dalam konteks sejarah Indonesia mengaitkannya dengan proto nasionalisme. Proto nasionalisme adalah awalan kepada gerakan kesedaran kebangsaan. Hal ini berlaku di Indonesia apabila ada pemimpin dan rakyat tempatan mengingkari Pax Neerlandica.
Sarjana barat sepert Bernard Dahm juga merujuk perjuangan awal di Indonesia ini sebagai benih-benih ke arah nasionalisme yang mekar dalam perjuangan mereka seterusnya di negara tersebut.
Seorang lagi sarjana iaitu Leo Suryadinata juga menggunakan istilah ini untuk merujuk kepada gerakan politik dalam kalangan orang Cina di Indonesia.
Kenyataan-kenyataan sarjana ini jelas menunjukkan satu perkembangan penting dalam kesedaran nasionalisme di tanah jajahan orang asing. Ia akan bergerak dalam suasana awal yang bersifat protes, meniupkan kesedaran kebangsaan dan bergerak atas landasan melawan penjajah.
Benih-benih kesedaran
Seperti dinyatakan awal tadi konsep proto nasionalisme ini sudah wujud dalam kalangan pemimpin dan masyarakat yang tinggal di Bumi Kenyalang.
Nama yang pernah saya paparkan sebelum ini seperti Rentap, Sharif Masahor, Datu Patinggi Abdul Ghapur, Ngumbang, Bantin, Liu Sanbang dan juga Asun antara pencetus awal kepada kesedaran masyarakat tempatan. Perjuangan mereka adalah bersifat bersenjata dan menentang sebarang gangguan daripada pihak penjajah kepada kehidupan mereka.
Seterusnya gerakan bersifat sederhana mula muncul apabila berlaku penindasan ke atas gerakan bersenjata. Fajar Sarawak misalnya menjadi alat penting dalam kesedaran ke atas kaum Bumiputera akan nasib mereka di Bumi Kenyalang.
Hal ini membawa kemunculan golongan menengah yang terdiri daripada Rakawi Yusuf, Abdul Rahman, Mohd. Johari Anang dan Mohd Ma’amon.
Saranan dari kalangan golongan menengah ini membawa kepada kemunculan Persatuan Melayu Sarawak (PMS). Sebelum itu ada saranan daripada Datu Patinggi Abang Abdillah untuk mewujudkan Persatuan Bumiputera yang akan menyatukan semua kaum Bumiputera di Sarawak tetapi gagal kerana masalah kewangan.
PMS pula mempunyai perancangan dalam kemajuan orang Melayu dan Islam.
Sementara itu orang Iban juga mempunyai kesedaran mengenai bangsanya apabila sedar keperluan memajukan ekonomi mereka terutama dalam industri penanaman getah.
Hal ini berlaku di Bahagian Kedua apabila J. H. Chambai, Manggai dan Langi Boudyne merupakan individu yang berperanan dalam mencari dana di Ulu Paku, Rimbas dan Sungai Krian bagi menubuhkan sebuah syarikat perdagangan.
Selepas tiga tahun berusaha, mereka berjaya mendapat dana sebanyak lebih $20,000 bagi mendirikan the Dayaks Co-operative Society pada awal 1941.
Ke arah pembebasan
Keadaan zaman Jepun pula tidak memungkinkan perkembangan kesedaran ini. Namun pihak Jepun menanam keyakinan kepada anak Sarawak bahawa mereka boleh memerintah negeri mereka sendiri.
Pelantikan beberapa anak Sarawak dalam pentadbiran kerajaan pentadbiran Jepun menjadi bukti jelas kepada hal ini.
Namun semangat ini dibendung oleh British yang menjajah Sarawak selepas perang.
Usaha anti penyerahan menuntut hak mereka tidak dihiraukan sehingga membawa kepada peristiwa berdarah. Namun demikian semangat anak Sarawak untuk merdeka mula terserlah apabila Sarawak diberi pemerintahan sendiri pada 22 Julai 1963 dan kemerdekaan dalam pembentukan Malaysia pada 16 September 1963.
Jelas disini menunjukkan bahawa perjuangan awal penduduk tempatan di Sarawak mencerminkan usaha kesedaran awal dalam kerangka proto nasionalisme. Ia berlaku bukan semata-mata mengangkat senjata tetapi juga dalam bentuk kesedaran sosial dan ekonomi masyarakat yang ketinggalan semasa era penjajahan.
Semangat ini mula memupukkan kesedaran bersama dan menyeluruh sehingga Sarawak dibebaskan oleh British.
Dr. Suffian Mansor adalah Ketua Progran Sejarah, Pusat Kajian Sejarah, Politik dan Hal Ehwal Antarabangsa, Universiti Kebangsaan Malaysia.