WASHINGTON: Amerika Syarikat (AS) pada Selasa terus dihambat protes besar-besaran yang kini masuk hari kelapan meskipun Presiden Donald Trump terus menggesa kembalikan semula “Undang-Undang dan Ketenteraman”, lapor agensi berita Anadolu.
Perintah berkurung waktu malam di beberapa bandar raya dikenakan namun tidak diendahkan penunjuk perasaan.
Di Washington DC protes berlarutan sepanjang malam, menyaksikan sekurang-kurangnya sebuah kereta dibakar dan punca insiden itu tidak dapat dipastikan.
Terdahulu, Senator Massachusetts Elizabeth Warren turut menyertai demonstrasi berhampiran Rumah Putih, sebelum Trump berjalan kaki melalui Lafayette Park untuk mengadakan sesi bergambar.
Untuk membolehkan Trump mengadakan sesi bergambar itu, polis bertindak ganas menyuraikan penunjuk perasaan yang berhimpun di Lafayette Park, dan laungan slogan “Nyawa Orang Kulit Hitam Berharga”, “George Floyd” dan “Tiada Keadilan, Tiada Keamanan” kedengaran.
Protes besar-besaran itu berikutan kematian George Floyd, 46, pada 25 Mei lalu, selepas ditahan polis kerana didakwa cuba menggunakan wang palsu di sebuah kedai di Minneapolis, Minnesota.
Insiden itu menimbulkan kemarahan rakyat apabila rakaman video yang tular di Facebook, menunjukkan pegawai polis Derek Chauvin menggunakan kekasaran ketika menahan Floyd.
Chauvin menekan lututnya di leher Floyd selama hampir sembilan minit sehingga mangsa sukar bernafas dan rayuannya langsung tidak diendahkan anggota polis itu.
Lelaki kulit hitam itu kemudian disahkan meninggal dunia di hospital sejurus selepas ditahan.
Warren ketika diaju soalan mengapa Trump mengerahkan tentera di kawasan itu, beliau berkata “kerana dia salah.”
“Dia menguatkuasakan kekerasan kepada orang kita. Mereka yang ada di sini hadir untuk protes secara damai,” kata senator itu.
Bandar raya itu berada di bawah perintah berkurung, berkuat kuasa 7 malam Selasa hingga 6 pagi Rabu.
Demonstrasi terus dilaporkan berlaku di bandar-bandar besar bermula dari Los Angeles hingga ke New York.
Pada Isnin petang bandar raya New York dilanda protes besar-besaran mendorong Gabenor Andrew Cuomo menegur Datuk Bandar Bill De Blasio kerana tidak menangani keadaan itu.
De Blasio pada Selasa bertindak mengeluarkan perintah berkurung di bandar raya itu berkuat kuasa 8 malam dan dijangka berlangsung sehingga 5 pagi waktu tempatan (0900GMT) Rabu.- Bernama