
NEW YORK: Ribuan penunjuk perasaan berhimpun semalam di New York, Washington dan beberapa bandar lain di seluruh Amerika Syarikat (AS) dalam satu lagi siri demonstrasi besar-besaran menentang Presiden AS, Donald Trump dan dasar kerasnya.
Di New York, orang ramai berkumpul di luar perpustakaan utama bandar itu dengan membawa sepanduk yang menyasarkan Trump dengan slogan seperti ‘Tiada Raja di Amerika’ dan ‘Lawan Kezaliman’.
Ramai antara mereka menyuarakan bantahan terhadap tindakan Trump mengusir pendatang tanpa dokumen, sambil melaungkan ‘tiada ICE, jangan takut, pendatang dialu-alukan di sini’ yang merujuk kepada agensi Penguatkuasaan Imigresen dan Kastam (ICE) yang terbabit dalam operasi menahan pendatang.
Di Washington, penunjuk perasaan menyuarakan kebimbangan tindakan Trump dilihat mengancam norma Perlembagaan yang sekian lama dihormati, termasuk hak kepada proses undang-undang yang adil.
Penunjuk perasaan, Benjamin Douglas, 41, berkata pentadbiran negara itu sedang melakukan serangan langsung terhadap prinsip kedaulatan undang-undang dan idea bahawa kerajaan perlu dihadkan daripada menyalahgunakan kuasa terhadap rakyatnya.
Douglas yang memakai keffiyeh dan membawa sepanduk turut menuntut pembebasan Mahmoud Khalil, seorang pelajar pro-Palestin yang ditahan bulan lalu dengan mendakwa mangsa dijadikan bahan ujian untuk membakar semangat kebencian dan melemahkan perlindungan undang-undang yang sekian lama wujud.
Penunjuk perasaan dari New York yang juga anak kepada mangsa Holocaust terselamat, Kathy Valy, 73, berkata penduduk AS sedang menghadapi bahaya yang besar dan keadaan mereka boleh diumpamakan seperti pemimpin Nazi, Adolf Hitler naik ke tampuk kuasa.
“Satu perkara ialah Trump jauh lebih bodoh daripada Hitler atau daripada fasis yang lain.
“Dia sedang dipermainkan dan pasukannya sendiri berpecah,” katanya.
Sementara itu, penganjur utama protes, kumpulan 50501 yang mewakili 50 protes di 50 negeri dan satu gerakan bersama menyatakan kira-kira 400 demonstrasi sudah dirancang.
Laman webnya berkata, bantahan yang disifatkan tidak ganas itu adalah tindak balas pantas terhadap tindakan anti-demokratik dan menyalahi undang-undang pentadbiran Trump dan sekutu plutokrat.
Kumpulan berkenaan menggesa berjuta-juta untuk mengambil bahagian semalam walaupun kehadiran dilihat lebih kecil berbanding protes besar-besaran ‘Hands Off’ yang diadakan pada 5 April lalu. – AFP