PILIHAN Raya Negeri Sarawak dijangka akan diadakan pada Disember tahun ini ekoran Yang di-Pertuan Agong telah memperkenan untuk memendekkan darurat yang sepatutnya berakhir pada 2 Februari 2022. Pembatalan darurat Sarawak oleh Yang di-Pertuan Agong ini membawa implikasi kepada Sarawak, iaitu Seksyen 3(3) Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu)(Sarawak) 2021, memerihalkan bahawa Dewan Undangan Negeri terbubar pada tarikh Proklamasi Darurat (Sarawak) dibatalkan atau diungkaikan.
Maka berdasarkan Seksyen 3(4) Ordinan yang sama berkehendakkan suatu pilihan raya umum diadakan dalam tempoh 60 hari dari tarikh Proklamasi Darurat (Sarawak) dibatalkan atau diungkaikan.
Bilakah penamaan calon?
Sudah tentu dalam masa terdekat Suruhan Jaya Pilihan Raya akan bersidang selepas menerima pemakluman pembatalan darurat tersebut. Namun dalam konteks Sarawak, elemen budaya sangat penting bagi menentukan tingkah laku politik. Misalnya, apabila berlakunya kematian Timbalan Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Datuk Amar James Jemut Masing sekurang-kurangnya selama seminggu akan berkabung untuk menghormati pemergian mendiang. Dalam budaya Iban tradisional selama tujuh hari mereka akan tidak membuat sesuatu aktiviti besar. Malah televisyen dan radio ditutup pada zaman dahulu.
Selepas tempoh seminggu, barulah dijangka SPR mengadakan mesyuarat persediaan pilihan raya negeri Sarawak. Dalam mesyuarat tersebut, mereka akan membincangkan tarikh penamaan calon, tempoh berkempen dan tarikh mengundi.
Tarikh penamaan calon bukanlah ditentukan secara semborono. Sebaliknya mempunyai kriteria-kriteria tertentu. Penamaan calon akan dapat memberikan peluang parti, penyokong, mereka yang berhasrat bertanding mempunyai masa secukupnya untuk merancang, memilih dan mengatur persediaan-persediaan sebelum hari penamaan.
Persediaan
Maka, tarikh penamaan diberikan masa secukupnya agar tidak membebankan parti atau individu yang bertanding. Hal ini kerana persediaan mencari pencadang, penyokong dan sebagainya. Terdapat beberapa syarat perlu dipenuhi misalnya pencadang dan penyokong kepada calon yang bertanding perlu merupakan pengundi di kawasan tersebut. Calon pula dipastikan tidak pernah muflis. Laporan kewangan perbelanjaan pilihan raya Kawasan terdahulu misalnya perlu dipastikan dihantar. Begitu juga perkara asas yang pernah membatalkan calon misalnya terlupa membawa kad pengenalan ketika hari penamaan calon boleh terbatal pencalonan untuk bertanding.
Langkah awal
Ketika ini, borang penamaan calon sudah boleh dibeli oleh sesiapa sahaja yang berhasrat untuk bertanding. Berdasarkan situasi ini semakan awal dalam pengisian borang pencalonan perlu dilakukan dan tidak perlu menunggu hari penamaan calon. Perkara ini penting untuk memastikan borang diisikan betul, tepat dan benar. Ia perlu memenuhi kriteria dan kelayakan agar pada hari semasa penamaan calon tidak berlaku kesilapan dalam mengisi borang tersebut.
Sekiranya tindakan ini dilakukan lebih awal dalam membuat semakan, maka dapat memastikan proses penamaan calon akan berjalan lancar dan mengikut tempoh yang ditetapkan. Kesannya, memberi ruang kepada parti untuk mencari calon lain, sekiranya calon dicadangkan tersebut didapati tidak layak apabila membuat semakan awal. Maka, tidaklah parti tersebut kalah atau hilang kelayakan atau menyebabkan parti lawan menang tanpa bertanding jika calon silap mengisi borang.
Terdapat juga persediaan pengurusan risiko. Misalnya ada yang membuat tiga borang penamaan dengan pencadang dan penyokong yang berlainan. Perkara ini dilakukan untuk memastikan jika ada apa-apa berlaku misalnya tiba-tiba sakit, maka dua borang lain tersebut dapat dijadikan sebagai penyelamat kepada situasi tersebut.
Deposit
Perlu diingat bahawa kertas penamaan calon perlu diisi lengkap. Bakal calon, pencadang atau penyokong pula perlu mengemukakan kertas penamaan calon kepada Pegawai Pengurus apabila tiba masanya hari penamaan calon di pusat penamaan calon.
Bagi memastikan proses penamaan calon berjalan lancar, parti bertanding khususnya bakal calon digalakkan untuk membuat pembayaran-pembayaran deposit pilihan raya dan deposit bahan kempen lebih awal.
Bagi calon DUN sebanyak RM5,000 untuk deposit manakala deposit bahan kempen pula ialah sebanyak RM3,000. Bayaran ini boleh dibayar di Pusat Penamaan Calon atau di Pejabat Pilihan Raya Negeri atau Pejabat Pegawai Pengurus Pilihan Raya bagi Bahagian Pilihan Raya berkenaan.
Sekiranya calon memperoleh lebih daripada 1/8 maka wang deposit pilihan raya boleh dituntut kembali, manakala deposit bahan kempen boleh dituntut selepas semua bahan kempen dibersihkan oleh calon tersebut. Ia perlu disahkan oleh pihak berkuasa tempatan yang berkenaan.
Calon akan diminta mengambil pas calon, pencadang dan penyokong selepas bayaran deposit. Tujuannya adalah untuk kebenaran memasuki pusat penamaan calon. Hal ini juga memastikan semua proses penamaan calon dapat dilaksanakan dengan lebih cepat, efisien pada hari penamaan calon.
Tempoh Kempen
Berkenaan tempoh berkempen terpulang kepada SPR menentukan tempoh masa. Terdapat 21 hari tempoh berkempen, namun bergantung kepada keperluan dan rasional tertakluk kepada jumlah hari kempen ditentukan oleh SPR. Lazimnya sekitar 12-14 hari waktu berkempen dibenarkan.Dalam konteks situasi Sarawak geografi Sarawak luas sewajarnya tempoh kempen yang lebih munasabah agar beri peluang pengundi untuk berinteraksi dengan calon-calon wakil rakyat mereka.
Bilakah Hari Mengundi?
Berdasarkan situasi semasa, maka hari mengundi dijangka akan diadakan seawal-awalnya pada 27 atau 28 November tahun ini. Hari penamaan dijangka pada 17 atau 18 November.
Ataupun, selewat-lewatnya dijangka 4-6 Disember, manakala tempoh berkempen 10-12 hari dan mungkin juga 13-14 hari. Jikalau situasi ini pula bermakna hari mengundi dijangka jatuh pada 18 Disember, ataupun 19 Disember. Kesemua ini dilakukan kerana untuk memastikan tidak ada gangguan terhadap sambutan aktiviti hari perayaan Krismas pada penghujung akhir Disember dan memastikan tempoh tengkujuh yang dijangka semakin teruk pada hujung tahun.
Pada masa yang sama juga perlu tempoh tenang selepas PRN Melaka yang diadakan pada 20 November untuk menilai risiko kesihatan, ancaman Covid-19 dan langkah-langkah memastikan SOP yang lebih baik kepada PRN Sarawak.
Profesor Madya Dr Awang Azman Awang Pawi ialah penganalisis sosiopolitik dan sosiobudaya di Jabatan Sosiobudaya, Universiti Malaya, Kuala Lumpur. Beliau juga ialah felo penyelidik Pusat Kajian Demokrasi dan Pilihan Raya Universiti Malaya (UMCEDEL)