
KABONG: Projek Tukun Tiruan Sarawak disifatkan sebagai antara strategi pemuliharaan jangka panjang paling signifikan di bawah inisiatif Projek Rakyat, sekali gus memperkukuh usaha negeri ini dalam melindungi biodiversiti marin serta meningkatkan taraf hidup komuniti pesisir.
Pengurus Besar Perbadanan Perhutanan Sarawak (SFC), Abang Arabi Abang Aimran berkata, projek berimpak tinggi ini membuktikan komitmen kerajaan negeri dalam menyeimbangkan kepentingan ekologi dan sosioekonomi.
“Melalui penurunan tukun tiruan mesra alam Reef Ball, kita berhasrat melindungi spesies marin terancam termasuk penyu, mamalia laut, terumbu karang dan padang rumpai laut.
“Pada masa sama, ia menghalang aktiviti pukat tunda haram serta memelihara kawasan perikanan tradisional,” jelasnya ketika berucap pada majlis Penurunan Terakhir Tukun Tiruan Fasa 2 di Perairan Kabong, hari ini.
Majlis tersebut telah disempurnakan Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan.
Mengulas lanjut, Abang Arabi berkata, Fasa 2 projek yang dilaksanakan sejak 2023 hingga 2027 melibatkan penurunan 5,000 unit tukun yang disusun dalam 100 kluster strategik di luar kawasan cadangan Taman Negara Koridor Marin Sarawak.
Inisiatif itu turut memperkasa aspek sosioekonomi melalui 82 kluster Peranti Agregat Ikan (FAD) untuk memancing rekreasi, sembilan kluster selaman Scuba bagi pelancongan marin, dan sembilan kluster marikultur karang bagi menyokong industri berasaskan marin serta ekonomi biru Sarawak.
“Sehingga kini, kesemua tukun tiruan telah diturunkan dari Tanjung Datu hingga Lawas, termasuk 300 unit di perairan Kabong hingga Alit sebagai kluster FAD,” jelasnya.
Abang Arabi menambah, selepas fasa penurunan, SFC akan menumpukan kepada penilaian keberkesanan projek secara ekologi dan sosial. Antara kaedah pemantauan digunakan ialah selaman SCUBA, Kenderaan Kawalan Jauh (ROV) dan analisis DNA persekitaran (eDNA).
“Dapatan awal Fasa 1 membuktikan tukun tiruan berfungsi berkesan sebagai FAD dengan peningkatan biomassa ikan komersial. Malah, pendapatan nelayan pesisir meningkat purata 200 peratus antara 2020 hingga 2024, menunjukkan pemuliharaan boleh berjalan seiring peningkatan kesejahteraan rakyat,” ujarnya.
Beliau turut menegaskan kejayaan projek ini hasil usaha kolektif melibatkan agensi kerajaan, komuniti nelayan, Badan Bukan Kerajaan (NGO), institusi akademik serta pihak industri.
“Pemuliharaan bukan sekadar perlindungan, tetapi pelaburan jangka panjang untuk masa depan Sarawak,” tegasnya.
Turut hadir Timbalan Menteri Pembangunan Bandar dan Sumber Asli Datuk Len Talif Salleh, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kabong Dato Mohd Chee Kadir, Pengurus Besar LCDA Datu Zaidi Mahdi, Residen Bahagian Betong Richard Michael Abunawas dan Pegawai Dearah Kabong Tahir Mohd Sharee.
Oleh Adi Safarman