KUCHING: Parti Tindakan Demokratik (DAP) menuntut ketelusan dan akauntabiliti kerajaan Sarawak bagi setiap projek dan hala tuju sebarang keputusan dasar.
Ahli Parlimen Kuching Dr Kelvin Yii berkata, kerajaan harus bersikap terbuka dengan semua urusan melibatkan projek supaya tidak menimbulkan sebarang keraguan.
“Kerajaan perlu bersikap telus dan bertanggungjawab termasuk mendedahkan siapa penyumbang yang bermurah hati menyumbang kepada projek Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR).
“Lebih penting lagi ialah mewajarkan kos projek itu sendiri yang dikatakan berjumlah RM30 juta untuk tiang bendera setinggi 99 meter itu.
“Hakikatnya, jika kerajaan yakin dengan projek sebegini, mereka harus lebih bersedia untuk membuat penelitian dan bersikap telus dengan semua urusan yang melibatkan projek ini untuk menghilangkan keraguan dan persoalan mengenainya,” katanya.
Sebagai perbandingan, beliau berkata tiang bendera tertinggi di dunia terletak di Jeddah, Arab Saudi setinggi 171m, dan dibina dengan kos SAR 18.7 juta, bersamaan dengan AS$4.9 juta (sekitar RM21 juta)
Tambahnya lagi, DAP Sarawak mengambil berat dan mahukan yang terbaik untuk Sarawak.
“Kami berperanan menyemak dan mengimbangi untuk memastikan Sarawak mengamalkan dasar yang betul, mengelak sebarang pembaziran atau penyalahgunaan, tidak kira niat apa niat disebalik setiap pelaksanaan,” ujarnya.
Dr Kelvin Yii berkata, hanya kerana Sarawak mempunyai peruntukan atau dana tambahan seperti yang disebut oleh Menteri, perbelanjaan harus ditapis dan diteliti.
“Kerajaan Sarawak mempunyai tanggungjawab yang lebih besar untuk memastikan ia dibelanjakan secara berhemat, tanpa pembaziran dan lebih penting lagi memberi manfaat kepada rakyat.
“Memandangkan pembinaan projek tiang bendera adalah “keutamaan yang salah letak” dan dana sedemikian boleh digunakan dengan lebih baik untuk melabur dalam perkara-perkara yang memberi manfaat langsung kepada rakyat termasuk infrastruktur awam atau pun dalam kesihatan atau pendidikan kita walaupun ia daripada sumber swasta.
Yii berkata adalah tidak benar untuk mengatakan bahawa DAP Sarawak tidak pernah menyokong apa yang terbaik untuk Sarawak.
“Ini terbukti apabila terbentuknya Kerajaan Perpaduan di peringkat Parlimen dan DUN, kita telah membahaskan secara terbuka dan menyokong rang undang-undang dan apa sekalipun dasar dibentangkan oleh kerajaan negeri, diundi sebulat suara untuk meluluskannya,” jelasnya.
Oleh Connie Chieng