Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • SEMASA
  • Projek Tenaga Sarawak–Singapura terima kelulusan bersyarat EMA
  • SEMASA

Projek Tenaga Sarawak–Singapura terima kelulusan bersyarat EMA

Utusan Sarawak 1 day ago
SAKSI… Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg dan Gan Kim Yong, menyaksikan penyerahan Surat Kelulusan Bersyarat oleh Eugene Toh, kepada Datuk Ibrahim Baki, dan Wong Kim Yin. Foto Sarawak Energy

SINGAPURA: Projek Sambungan Tenaga Sarawak–Singapura telah menerima kelulusan bersyarat daripada Pihak Berkuasa Pasaran Tenaga (EMA) Singapura hari ini.

Kelulusan ini menandakan satu pencapaian penting dalam usaha memperkukuh keselamatan tenaga serantau dan mempererat integrasi ekonomi antara negara jiran, selaras dengan aspirasi kerjasama ASEAN.

Dengan kelulusan bersyarat itu, projek berkenaan disahkan secara awal mempunyai daya maju dari segi teknikal dan komersial, sekali gus membolehkannya bergerak ke fasa seterusnya untuk mendapatkan kelulusan serta lesen pengawalseliaan yang diperlukan bagi pembangunan lanjut.

Kelulusan tersebut diberikan kepada Konsortium yang dianggotai Sarawak Energy dan Sembcorp Utilities Pte Ltd bagi tujuan eksport sekitar 1GW tenaga boleh diperbaharui dari Sarawak ke Singapura, dengan aliran bekalan dijangka bermula sekitar 2035 atau lebih awal.

Majlis penyerahan surat kelulusan bersyarat telah disempurnakan oleh Penolong Ketua Eksekutif dan Ketua Pegawai Komersial EMA, Eugene Toh kepada Pengerusi Sarawak Energy yang juga Timbalan Menteri Utiliti (Sarawak Energy dan Petros) Sarawak, Datuk Ibrahim Baki serta Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Sembcorp Industries Ltd, Wong Kim Yin.

Majlis tersebut turut disaksikan oleh Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Perdagangan dan Industri Singapura, Gan Kim Yong serta Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Turut hadir, Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Dato Sri Julaihi Narawi; Setiausaha Kerajaan Negeri Sarawak yang juga Ahli Lembaga Pengarah Sarawak Energy, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki; Ahli Lembaga Pengarah Sarawak Energy, Tan Sri Datuk Amar Mohamad Morshidi Abdul Ghani.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg menyifatkan kelulusan tersebut sebagai perkembangan positif yang menyokong aspirasi Malaysia untuk membangunkan Rangkaian Tenaga ASEAN.

Beliau berkata, Sarawak juga komited menyokong pembangunan Borneo Grid, selepas kejayaan sambungan rentas sempadan dengan Kalimantan Barat, Indonesia pada 2016.

“Berdasarkan kejayaan itu, Sarawak kini sedang berusaha menubuhkan sambungan tenaga baharu dengan Sabah dan Brunei Darussalam bagi memenuhi keperluan tenaga serantau,” katanya.

Sementara itu, Datuk Ibrahim berkata, pelbagai sambungan tenaga rentas sempadan yang memanfaatkan sumber tenaga boleh diperbaharui menawarkan peluang besar untuk memulakan perdagangan tenaga pelbagai hala di rantau ini.

Menurutnya, Sarawak Energy komited bekerjasama secara hormat dan strategik dengan rakan-rakan di seluruh Borneo serta komuniti ASEAN dalam usaha memperkukuh keselamatan tenaga, mencapai kemakmuran bersama dan merealisasikan sasaran peralihan tenaga.

Tags: SEMASA

Continue Reading

Previous: LCDA tampil inisiatif pembangunan strategik di Sarawak Mega Fair 2025
Next: JKR Sarawak menang anugerah berprestij antarabangsa 2025 Going Digital

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.