
SARATOK: Persediaan awal sebelum proses tender projek pembangunan Tebingan Sungai Krian kini giat dilaksanakan dengan memberi tumpuan kepada kebajikan dan penempatan semula peniaga kecil di kawasan terlibat.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kalaka, Mohamad Duri berkata, langkah itu penting bagi memastikan kelangsungan aktiviti ekonomi harian golongan terbabit tidak terjejas sepanjang pelaksanaan projek.
Menurutnya, sebelum proses tender yang dijangka berlangsung tahun ini, beberapa perkara utama perlu diberi perhatian termasuk penempatan semula peniaga kecil di sekitar tebingan Sungai Krian.

“Penempatan ke kawasan yang lebih strategik amat penting supaya mereka dapat meneruskan aktiviti perniagaan seperti biasa tanpa menjejaskan sumber pendapatan,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan perbincangan penyelarasan projek Cadangan Kerja-Kerja Perlindungan Tebing Sungai dan Tebingan Sungai (Waterfront) sepanjang Sungai Krian yang diadakan di Bilik Mesyuarat Pejabat Daerah Saratok, semalam.
Mohamad Duri berkata, penyediaan jeti sementara di Kampung Masjid Hilir juga akan dilaksanakan bagi memastikan kemudahan asas kepada penduduk setempat terus terjamin sepanjang tempoh pembinaan.

Perbincangan tersebut turut menyentuh status semasa projek selain penyelarasan antara agensi terlibat bagi memastikan kelancaran pelaksanaan.
Antara yang hadir ialah Pegawai Daerah Saratok, Mohammad Dino Amid bersama wakil daripada Jabatan Tanah dan Survei Bahagian Betong, Jabatan Kerja Raya (JKR) Saratok, Jabatan Pengairan dan Saliran Bahagian Betong, Setiausaha Majlis Daerah Saratok serta pihak perunding yang telah dilantik.
Mohamad Duri berkata, kerjasama erat antara semua pihak amat penting bagi memastikan setiap aspek perancangan dapat diselaraskan dengan baik sebelum projek dimulakan.
Beliau turut menegaskan bahawa projek Tebingan Sungai Krian merupakan inisiatif penting yang dijangka memberi impak besar kepada pembangunan kawasan tersebut.
Katanya, selain meningkatkan aspek keselamatan tebing sungai, projek itu juga berpotensi merancakkan sektor pelancongan dan ekonomi tempatan di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kalaka.
“Dengan pelaksanaan projek ini, kita berharap kawasan ini akan menjadi tarikan baharu yang mampu meningkatkan pendapatan penduduk setempat,” ujarnya.
Beliau berharap proses tender dapat dilaksanakan mengikut jadual dan pembinaan projek dapat dimulakan tahun ini, dengan jangkaan tempoh siap sekitar tiga tahun.
Oleh Adi Safarman