
SARIKEI: Pembangunan tebingan sungai (waterfront) baharu di Old Ferry Point, Sungai Nyelong dan cadangan menaik taraf Esplanade Sarikei dijangka meningkatkan daya tarikan sebagai destinasi pelancongan dan pusat kebudayaan.
Perkara tersebut antara fokus utama yang dibincangkan dalam mesyuarat khas bersama agensi bagi projek Agensi Pembangunan Delta Rajang (RADDA) untuk kawasan Parlimen Sarikei dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Repok yang diadakan di Majlis Daerah Sarikei (MDS) pada semalam.
Mesyuarat dipengerusikan oleh Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi, Dato’ Sri Huang Tiong Sii.
Katanya, mesyuarat diadakan bagi membincangkan status pelaksanaan projek RADDA selain menyelaras tindakan antara agensi yang terlibat bagi memastikan setiap projek dapat dilaksanakan dengan lancar dan berkesan.
Dalam mesyuarat tersebut, tumpuan diberikan kepada semakan kemajuan projek pembangunan yang sedang dilaksanakan termasuk mengenal pasti isu di lapangan serta membincangkan langkah penambahbaikan bagi memastikan setiap projek dapat disiapkan mengikut jadual yang ditetapkan.
Antara perkara yang dibincangkan ialah cadangan pembangunan tebingan sungai baharu di tapak Pusat Kebudayaan dan Pelancongan Bahagian Sarikei, reka bentuk konsep serta status pelaksanaan projek tebingan sungai baharu di Old Ferry Point, Sungai Nyelong dan cadangan menaik taraf Esplanade Sarikei.
“Perbincangan ini membuka ruang untuk kita membayangkan wajah baharu Sarikei yang lebih moden, berdaya tarikan dan berimpak tinggi.
“Dengan sokongan semua pihak, saya yakin transformasi ini akan menjadikan Sarikei sebagai pusat kebudayaan dan pelancongan yang kita nantikan,” katanya.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Sarikei dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Repok berkata, projek yang dirancang bukan sahaja akan meningkatkan imej bandar Sarikei, malah berpotensi merangsang pertumbuhan ekonomi setempat menerusi sektor pelancongan dan aktiviti perniagaan.
Katanya, pembangunan yang tersusun dan berimpak tinggi mampu mewujudkan lebih banyak peluang ekonomi kepada penduduk selain menjadikan Sarikei sebagai destinasi pilihan pengunjung.
Dalam pada itu, beliau menegaskan bahawa kerjasama erat antara semua agensi berkaitan amat penting bagi memastikan setiap projek yang dirancang dapat direalisasikan mengikut perancangan.
“Kerjasama semua pihak adalah kunci utama bagi memastikan projek pembangunan ini dapat dilaksanakan dengan jayanya demi manfaat rakyat dan pembangunan berterusan Sarikei,” katanya.
Tiong Sii turut berharap semua projek yang dirancang di bawah RADDA dapat menjadi pemangkin kepada transformasi pembangunan Sarikei, sekali gus meningkatkan kualiti hidup masyarakat setempat.
Turut hadir Pengerusi MDS, Kaunselor Stephen Wong Kie Yong dan Pegawai Daerah Sarikei, Louis Yeo Soon Guan.
Oleh Earl Anek