Projek Tebatan Banjir Desa Wira Fasa 2 dahului jadual 11 peratus

Facebook
WhatsApp
SEKITAR lawatan ke tapak Projek Tebatan Banjir Taman Desa Wira Fasa 2 yang dijangka siap sepenuhnya pada Julai 2027. Foto UKAS

KUCHING: Projek Tebatan Banjir Taman Desa Wira Fasa 2 bernilai RM36.6 juta kini mendahului jadual pelaksanaan sebanyak 11 peratus dan dijangka siap sepenuhnya pada Julai 2027.

Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Dr Sim Kui Hian berkata, kemajuan tersebut perlu dikekalkan dengan memastikan semua kerja dilaksanakan mengikut spesifikasi, piawaian dan tempoh kontrak yang ditetapkan.

Menurut beliau, keutamaan Kerajaan Sarawak sejak 2016 adalah memastikan projek yang memberi manfaat secara langsung kepada rakyat dilaksanakan dengan berkesan tanpa mengira sumber pembiayaannya.

“Tanpa mengira sama ada pembiayaan datang daripada Kerajaan Persekutuan atau kerajaan Sarawak, prinsip kita sejak 2016 tetap sama iaitu mengutamakan pelaksanaan projek supaya manfaatnya dapat dirasai rakyat serta memberi ketenangan kepada penduduk Batu Kawa,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengadakan lawatan ke tapak Projek Tebatan Banjir Taman Desa Wira Fasa 2, di sini, hari ini.

Projek yang memulakan kerja-kerja fizikal pada Januari lalu itu melibatkan pembinaan kolam takungan berkapasiti 30,000 meter padu air hujan, selain rumah pam, sistem saliran dan tembok perlindungan banjir sepanjang satu kilometer.

SEKITAR lawatan ke tapak Projek Tebatan Banjir Taman Desa Wira Fasa 2 yang dijangka siap sepenuhnya pada Julai 2027. Foto UKAS

Menurut Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sarawak itu, projek berkenaan merupakan sebahagian daripada pelan tebatan banjir bersepadu bagi kawasan Batu Kawa yang merangkumi empat kolam takungan strategik.

Fasa 2 turut melengkapkan Projek Tebatan Banjir Taman Desa Wira Fasa 1 di Lorong Desa Wira 7 bernilai RM14.5 juta yang menyediakan kolam takungan berkapasiti 40,000 meter padu air.

Beliau berkata, sistem berkenaan akan menampung lebihan air hujan dari kawasan perumahan sebelum dilepaskan secara terkawal ke Sungai Maong dan seterusnya ke Sungai Sarawak.

“Melalui kaedah ini, risiko banjir ketika hujan lebat dapat dikurangkan dan meningkatkan keselamatan serta kesejahteraan penduduk di kawasan Batu Kawa,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, kerajaan Sarawak turut memperuntukkan RM63.88 juta bagi membina dua lagi kolam takungan baharu meliputi kawasan seluas tujuh ekar berhampiran Batu Kawa New Township dan Pine Square Commercial Centre.

Peruntukan itu turut meliputi kerja menaik taraf sistem saliran di kawasan sekitar bagi memperkukuh rangkaian tebatan banjir di Batu Kawa.