KOTA SAMARAHAN: Daerah Samarahan merupakan antara daerah pengeluar komoditi nanas di Sarawak yang mana penduduk tempatan telah mengusahakan tanaman tersebut dan salah satunya adalah di tanah Projek Tanaman Nanas Kelompok Kampung Mang, Kota Samarahan.
Dalam laporan Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) menyatakan projek tanaman nanas tersebut sekali gus memacu pertumbuhan ekonomi masyarakat setempat terutamanya para pengusaha kebun nanas.
Pengusaha Kebun Nanas Kampung Mang, Shafiee Jinta merupakan antara peserta projek tanaman nanas tersebut yang telah berkecimpung selama 10 tahun dalam projek itu dan berjaya meningkatkan ekonomi keluarga serta memiliki pengalaman dalam bidang tersebut.
Menurut Shafiee, antara nanas yang diusahakan adalah nanas jenis Josephine, Sarikei, N36 dan terbaharu, MD2.
“Di tanah kebun nanas yang berkeluasan 5 ekar ini, saya telah mengusahakan penanaman nanas mengikut sistem kepadatan 57 hingga 58 jenis pokok nanas,” katanya ketika ditemubual oleh UKAS pada Sabtu.
Dalam pada itu, beliau memberitahu hasil yang dikeluarkan telah mendapat permintaan baik oleh peraih iaitu sebanyak tiga kali seminggu dengan kuantiti sebanyak 1,000 biji nanas jenis gred A (RM5), B (RM4) dan C (RM3).
Tambahnya, selain daripada tanaman nanas, beliau juga mengusahakan produk nanas iaitu jus nanas segar, jem nanas dan biskut tart nanas.
Turut dimaklumkan, projek tanaman nanas di situ merupakan rancangan pihak Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia Negeri Sarawak sebagai agensi pelaksana di tanah berkeluasan 51 ekar yang melibatkan seramai 23 peserta di kalangan penduduk Kampung Mang, Kota Samarahan.
Dalam pada itu, bukan hanya kebun nanas milik Shafiee Jinta di tapak projek tersebut, namun termasuk kebun nanas milik penduduk-penduduk kampung yang mampu menarik minat pengunjung luar untuk datang ke kawasan tersebut.
Ia sekali gus berpotensi untuk dikembangkan sebagai salah satu hub agro-pelancongan yang mana peserta yang berminat akan dibawa melawat ladang nanas dan akan diajar proses penanaman nanas.
Kebun nanas di Kampung Mang juga sering menjadi lokasi yang dilawat oleh institusi-institusi pertanian dan penuntut daripada Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS).
Oleh JEAKQLEYN YACHO