
SARATOK: Sesi dialog antara Sarawak Energy Berhad (SEB) dan penduduk Kampung Paloh diadakan semalam bagi memberikan penerangan terperinci berhubung projek penambahbaikan sistem pengagihan elektrik 11 kilovolt (kV) ke Kampung Paloh dan Batang Maro.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kalaka, Mohamad Duri berkata beliau telah diwakili oleh Timbalan Ketua Cawangan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Kalaka, Kaunselor Kasdi Pandi dalam lawatan tapak bersama rombongan SEB ke Kampung Paloh.
Menurut beliau, sesi pertama perjumpaan bersama penduduk kampung berlangsung di Perpustakaan Desa Kampung Paloh, sebelum diteruskan dengan sesi dialog melibatkan wakil SEB yang memberikan pencerahan mengenai kepentingan dan pelaksanaan projek tersebut.
“Projek ini akan memberikan impak besar dalam meningkatkan kestabilan serta kebolehpercayaan sistem pengagihan 11kV di Kampung Paloh dan Batang Maro,” katanya.

Dalam sesi berkenaan, penduduk turut mengajukan soalan berkaitan Projek Dana Permohonan Lewat dan Tambahan (ALAF). Kaunselor Kasdi bersama wakil SEB memberi penjelasan mengenai prosedur serta tujuan projek tersebut.
Kasdi dalam majlis tersebut turut menasihati penduduk agar lebih berwaspada bagi mengelakkan sebarang penipuan oleh pihak tidak bertanggungjawab sepanjang pelaksanaan projek.
Selain itu, wakil SEB turut menerangkan mengenai kadar bayaran bagi Skim Bantuan Pendawaian (AWS) serta kaedah pembayaran yang sah.
Selesai sesi dialog, rombongan SEB meneruskan tinjauan di Kampung Paloh bagi melihat sendiri keadaan lapangan, termasuk mengenal pasti laluan bagi pembinaan talian sistem pengagihan 11kV di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kalaka.
Mohamad Duri menjelaskan, projek tersebut dijangka menjadi pemangkin kepada peningkatan infrastruktur tenaga elektrik di kawasan itu, sekali gus memberi manfaat jangka panjang kepada penduduk setempat.
Oleh Adi Safarman