BA’ KELALAN: Pelaksanaan projek solar untuk Sekolah Kebangsaan (SK) Ba’Kelalan kini memasuki fasa akhir dan dijangka siap sepenuhnya menjelang suku pertama tahun 2022.
Sehubungan itu, Timbalan Menteri Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) Dato Henry Sum Agong juga telah meluluskan pembinaan tiga jambatan kecil dan sebuah jabatan konkrit utama menuju ke sekolah berkenaan tahun depan.
Turut sama dalam lawatan kerja ke projek Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11) SK Ba’Kelalan ialah Setiausaha Persekutuan Sarawak Dato’ Amir Omar, Pengarah Pembangunan Negeri Sarawak Dato’ Hasnul Mohamed, Pengarah KPLB Sarawak Syafiq Anas Abdullah, Timbalan Residen Bahagian Limbang Sebi Abang, Pegawai Daerah Lawas Ladin Atok, Ketua Polis Daerah Lawas DSP Sila Kadong dan Pegawai Pendidikan Daerah Lawas Sawal Pandin.
Henry Sum bersama Amir juga mahu semua projek dbawah Kementerian Pendidikan Malaysia dapat disenaraikan bersama penilaian kos untuk dihantar awal.
Ini bagi memboleh peruntukan bagi sekolah-sekolah di Sarawak dapat dibelanjakan sepenuhnya.
Pada masa yang sama, Setiausaha Persekutuan Sarawak juga memberi jaminan untuk bertemu Pengarah Pendidikan Sarawak bagi memastikan semua projek pembangunan sekolah-sekolah di Sarawak disenarai awal dan turut diikuti dengan tindakan susulan.
Usaha ini penting bagi memastikan keadaan sekolah daif di Sarawak mendapat pembelaan sewajarnya.
Tetamu kehormat yang hadir turut diberi taklimat ringkas oleh kontraktor pembinaan tenaga solar dan Pegawai Pendidikan Daerah Lawas sebelum melakukan tinjauan di kawasan sekolah.
SK Ba’Kelalan ditubuh pada tahun 1955 yang awalnya dibina dari kulit kayu, buluh dan kayu bulat atas inisiatif gotong royong penduduk Bakelalan.
Pada tahun 1959, sekolah ini dipindahkan ke satu tapak baharu seluas tiga ekar yang dihadiahkan oleh seorang penduduk asal Long Langai bernama Padan Sigar atau Pelandok Sigar.
Pada tahun 1972, dengan peruntukan kewangan daripada pihak kerajaan, bangunan lama telah diganti dengan bangunan baharu yang digunakan hingga hari ini.
SK Ba’Kelalan juga adalah antara sekolah berprestasi tinggi di daerah Lawas dengan pencapaian cemerlang di peringkat Komanwel, kebangsaan dan negeri Sarawak.
Sekarang terdapat 61 pelajar dengan 11 guru selain anggota kumpulan pelaksana seramai lapan orang di sekolah berkenaan.
Oleh ADENG EDRUS