
SIBU: Kemajuan pembinaan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dudong kini mencapai 3.28 peratus setakat 28 Februari 2025, melepasi sasaran awal sebanyak 2.13 peratus.
Menurut Pengerusi Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Cawangan Dudong, Wong Ching Yong, maklumat itu diperoleh menerusi jawapan bertulis Parlimen oleh Kementerian Pendidikan Persekutuan susulan pertanyaan oleh Senator Robert Lau Hui Yew semasa perbahasan di Dewan Negara berhubung dengan Titah Diraja oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong.
Katanya, SMK Dudong, yang akan dilengkapi 42 bilik darjah dan pelbagai kemudahan lain, sedang dibina oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) menggunakan kaedah reka dan bina.
“Surat Setuju Terima (SST) telah dikeluarkan kepada kontraktor pada 30 Oktober 2024 dan tapak pembinaan telah diserahkan pada 11 November.
“Projek ini dijadualkan siap sepenuhnya dalam tempoh 48 bulan, iaitu pada 5 November 2028,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut Wong, beliau sendiri telah beberapa kali meninjau tapak pembinaan tersebut dan menyifatkan kemajuannya sebagai memuaskan.
Katanya, Pengerusi Majlis Daerah Luar Bandar Sibu (MDLBS), Sempurai Petrus Ngelai bersama pasukannya turut dijadualkan mengadakan lawatan ke tapak pembinaan yang terletak dalam kawasan pentadbiran MDLBS.
Mengulas sejarah pembinaan sekolah itu, Wong berkata cadangan asal bagi pembinaan SMK Dudong dan Sekolah Kebangsaan (SK) Dudong dikemukakan oleh bekas Timbalan Menteri Perumahan, Datuk Dr. Soon Choon Teck, bagi mengatasi masalah kesesakan di SMK dan SK Sibu Jaya.
Namun, selepas persaraan Datuk Dr. Soon, cadangan tersebut digugurkan daripada peruntukan Rancangan Malaysia Ke-10 dan Ke-11.
Pembinaan kedua-dua sekolah itu hanya diluluskan semula menerusi Belanjawan Negara 2020 dan 2024, hasil usaha Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg dan Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Dr. Sim Kui Hian.
Bagaimanapun, Wong memaklumkan bahawa beliau tidak mempunyai sebarang maklumat terkini mengenai perkembangan pembinaan SK Dudong walaupun ia telah diluluskan di bawah Belanjawan Negara 2024.
Beliau turut menzahirkan keprihatinan terhadap kelancaran projek pembinaan kedua-dua sekolah tersebut memandangkan pertambahan bilangan pelajar dan penduduk di Sibu Jaya.
“Malah, kewujudan projek perumahan terbengkalai di kawasan ini di bawah Kementerian Perumahan Persekutuan menjadikan keperluan terhadap kemudahan pendidikan baharu lebih mendesak,” katanya.
Oleh Tarani Lanting