
SARATOK: Projek pembangunan Sekolah Kebangsaan (SK) Babang di Saratok mencatatkan prestasi cemerlang apabila pelaksanaannya kini mendahului jadual asal sebanyak dua bulan, menurut kenyataan Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak.
Projek DAIF Sarawak 2022 ini melibatkan pembinaan gantian penuh bagi blok pentadbiran dan akademik tiga tingkat, unit prasekolah baharu serta asrama pelajar lelaki dan perempuan.
Pelbagai kemudahan sokongan turut dibina termasuk dewan makan, enam unit rumah guru dua tingkat, pondok pengawal, tempat pembuangan sampah, bilik pam dan padang bola.
Menurut kenyataan JKR Sarawak, projek ini bertujuan meningkatkan keselamatan, keselesaan dan kualiti persekitaran pembelajaran bagi murid dan guru. Ia juga diharap dapat memperkukuh akses pendidikan yang lebih baik untuk komuniti setempat.
“Pembangunan komprehensif ini bukan sahaja menyediakan kemudahan moden, tetapi turut memberi motivasi kepada murid dan tenaga pengajar untuk mencapai kecemerlangan akademik,” kata kenyataan itu.

Setakat 25 November lalu, kemajuan fizikal projek mencatatkan 60.49 peratus, menunjukkan kadar kerja yang memberangsangkan.
Projek ini dijangka siap sepenuhnya pada 23 Disember 2026, lebih awal daripada jadual asal, hasil perancangan rapi dan pemantauan berterusan oleh pihak JKR Saratok.
JKR menekankan bahawa kejayaan ini adalah hasil kerjasama antara kontraktor, pihak sekolah dan komuniti setempat dalam memastikan kelancaran kerja pembinaan.
Dengan penyiapan projek ini kelak, SK Babang dijangka akan menjadi institusi pendidikan yang lengkap dengan kemudahan moden, mampu menampung bilangan murid yang semakin meningkat, serta menyediakan persekitaran pembelajaran yang kondusif untuk generasi masa depan.
Oleh Adi Safarman