
KABONG: Isu kelewatan melampau projek pembangunan infrastruktur pendidikan terus mendapat perhatian serius, khususnya melibatkan projek pembinaan semula Sekolah Kebangsaan (SK) Abang Leman Kabong yang kini mencatatkan penundaan tarikh siap hampir lima tahun.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kabong, Dato Mohd Chee Kadir menyuarakan kekecewaan mendalam beliau berhubung perkembangan projek tersebut yang disifatkan memberi impak besar kepada warga sekolah terbabit.
Beliau berkata demikian semasa hadir pada Sesi Randau dan Penyerahan Geran kepada Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) di tiga buah sekolah dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kabong, semalam.
Dalam sesi lawatan ke SK Abang Leman Kabong, Chee Kadir mengadakan perbincangan khusus bersama pihak PIBG sekolah bagi memperincikan jalan penyelesaian berhubung isu kelewatan penyiapan projek pembinaan SK Abang Leman Kabong.
Semasa sesi tersebut, beliau mengulangi pendirian tegas yang telah dibangkitkan sebelum ini semasa Mesyuarat Pertama Bagi Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak mengenai status projek berkenaan.
Beliau menyatakan rasa amat kecewa terhadap kelewatan melampau projek pembinaan sekolah itu yang dilaksanakan di bawah seliaan pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) Persekutuan.
Menurut beliau, mengikut perancangan awal, projek tersebut sepatutnya siap sepenuhnya untuk digunakan pada 5 November 2022.
Bagaimanapun, garis masa penyiapan projek berkenaan kini telah dilanjutkan sehingga 30 Disember 2027, sekali gus menyaksikan kelewatan projek mencecah hampir lima tahun daripada jadual asal.

Oleh itu, perbincangan tersebut turut memberi tumpuan kepada tindakan susulan yang boleh diambil di peringkat sekolah dan PIBG bagi mendesak agensi berkaitan supaya mempercepatkan pelaksanaan projek tersebut.
Langkah berkenaan diambil bagi menyokong usaha berterusan yang telah dilaksanakan oleh beliau sebelum ini dalam menuntut komitmen agensi pelaksana.
Pada kesempatan yang sama, Chee Kadir turut menyerahkan geran bantuan kewangan berjumlah RM15,000 kepada PIBG SK Abang Leman Kabong untuk kegunaan aktiviti sekolah.
Terdahulu, program siri lawatan beliau bermula di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Chung Hua Kabong untuk mendengar taklimat daripada pihak JKR berhubung pelaksanaan projek naik taraf bangunan sekolah tersebut.
Berdasarkan laporan semasa, projek bernilai RM770,000 yang dibiayai sepenuhnya menerusi peruntukan Agensi Pembangunan Bahagian Betong (BDDA) itu berada dalam fasa mengikut jadual dengan kemajuan fizikal sebenar sebanyak 8 peratus berbanding jadual asal 10 peratus.
Di SJKC Chung Hua Kabong, beliau turut menyerahkan geran berjumlah RM12,000, dengan agihan masing-masing RM6,000 kepada PIBG dan Lembaga Pengurusan Sekolah tersebut.
Seterusnya, lawatan diteruskan ke SMK Kabong bagi mendengar laporan berhubung projek naik taraf dewan terbuka bernilai RM500,000 di bawah peruntukan BDDA, selain menyerahkan geran RM20,000 kepada PIBG sekolah berkenaan.
Chee Kadir merakamkan penghargaan kepada kerajaan Sarawak atas kelulusan peruntukan tersebut dan berharap agar agensi berkaitan memastikan setiap projek dirancang dapat disiapkan mengikut jadual serta standard kualiti demi keselesaan warga sekolah.
Oleh Adi Safarman