
BETONG: Suasana seni dan warisan budaya Sarawak kembali disemarakkan melalui Projek Seni: Meneroka Seni Kreatif yang membuka ruang pembelajaran kreatif kepada belia, pendidik dan penggiat seni tempatan dalam bengkel intensif sehari di Betong.
Program anjuran Sarawak Digital Media E-Platform Association dengan sokongan Pustaka Negeri Sarawak Sibu, Centexs dan dibiayai oleh Dana Mudahcara Warisan dan Kesenian Sarawak di bawah Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak (MTCP), terus komited memperluas akses pendidikan seni serta literasi digital di kawasan luar bandar dan separa bandar.
Edisi Betong menampilkan tiga modul kreatif yang dijalankan serentak, masing-masing disertai sehingga 30 peserta.
Melalui bengkel berkenaan, peserta diberi pendedahan intensif merangkumi penghasilan reka bentuk 3D berasaskan motif Tango Iban, dokumentasi video pembuatan kuih tradisional Penyaram, serta ilustrasi motif batik kontemporari secara manual dan digital.


Lebih 75 peserta dari Betong dan kawasan sekitarnya menyertai program tersebut, terdiri daripada golongan belia, guru, artis tempatan dan komuniti pencinta seni.
Bengkel yang berlangsung dari 9.00 pagi hingga 5.30 petang itu turut membolehkan peserta mempelajari kemahiran seperti pemodelan 3D, suntingan video, ilustrasi digital serta penceritaan kreatif.
Peserta melahirkan rasa teruja kerana berpeluang meneroka gabungan teknologi moden dan warisan budaya. Bagi sebahagian daripada mereka, program ini turut menawarkan pengalaman pertama menggunakan peralatan digital seperti tablet reka bentuk dan pencetak 3D.
Sebagai inisiatif seni bergerak, Projek Seni terus berperanan mewujudkan laluan pembelajaran inklusif, mampan dan berteraskan budaya, sekali gus memupuk keyakinan kreatif, celik digital serta kebanggaan terhadap identiti warisan.
“Bengkel seperti ini bukan sekadar mengajar kemahiran baharu, tetapi membantu peserta menemui jati diri, potensi dan rasa kebersamaan melalui ekspresi kreatif,” ujar salah seorang fasilitator ketika sesi penutup.
Selepas Betong, siri Projek Seni dijadual meneruskan jelajahnya ke Bintulu bagi menyemarakkan lagi inspirasi dan inovasi dalam kalangan komuniti seni di seluruh Sarawak.
Oleh Adi Safarman