
KUCHING: Usaha memperkasa komuniti dalam menangani isu kesihatan mental diperkukuh menerusi pelancaran Projek SAYANG – Inisiatif Juara Komuniti Kesihatan Mental yang diadakan di sebuah hotel terkemuka di sini, hari ini.
Projek yang dianjurkan oleh Persatuan Kesihatan Mental Sarawak (MHAS) Cawangan Kuching dengan sokongan All-Party Parliamentary Group Malaysia on Sustainable Development Goals (APPGM-SDG) itu bertujuan melatih wakil masyarakat sebagai Juara Komuniti Kesihatan Mental, iaitu individu yang dilatih untuk mengenal pasti, memahami dan menyokong mereka yang berdepan cabaran kesihatan mental.
Datuk Bandar Kuching Selatan yang juga Penasihat MHAS, Dato Wee Hong Seng, berkata Projek SAYANG bukan sekadar program kesedaran tetapi satu usaha berstruktur bagi membina jaringan sokongan yang kukuh di peringkat komuniti.
“Penjagaan kesihatan mental perlu bermula dalam komuniti kerana bantuan yang paling bermakna datang daripada seseorang yang kita kenal, yang dipercayai dan sentiasa ada di sisi,” katanya ketika merasmikan majlis pelancaran tersebut.
Beliau menjelaskan bahawa Projek SAYANG terdiri daripada 10 modul latihan interaktif yang dikendalikan oleh pakar psikiatri dari Hospital Umum Sarawak (HUS) dan Hospital Sentosa Kuching.
Modul-modul tersebut meliputi pengenalan kepada kesihatan mental, isu-isu berkaitan pelbagai peringkat umur, kemahiran asas psikologi serta tatacara memberi bantuan awal kepada individu yang memerlukan.


Dato Wee menzahirkan penghargaan kepada APPGM-SDG atas keyakinan dan pembiayaan yang diberikan, serta kepada rakan kolaborasi seperti Hospital Umum Sarawak, Hospital Sentosa Kuching, Swinburne University of Technology, Trash Hero Kuching, dan pertubuhan masyarakat sivil lain yang membantu menjayakan inisiatif berkenaan.
“Setiap tindakan kecil yang disertai kasih sayang, keprihatinan dan empati mampu membawa perubahan besar kepada kesejahteraan mental masyarakat.
Projek SAYANG ini adalah langkah bermakna ke arah membina komuniti yang lebih penyayang dan berdaya tahan,” ujarnya dalam sebuah kenyataan media hari ini.
Beliau turut menegaskan bahawa usaha meningkatkan kesedaran kesihatan mental selari dengan Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), khususnya SDG 3: Kesihatan dan Kesejahteraan Baik, SDG 10: Mengurangkan Ketidaksamarataan, dan SDG 17: Perkongsian untuk Matlamat Bersama.
Majlis pelancaran turut diserikan dengan penyampaian cenderahati kepada tetamu kehormat serta sesi bergambar bersama kumpulan pertama Juara Komuniti Kesihatan Mental di Sarawak yang akan menjadi pemangkin kepada masyarakat lebih prihatin terhadap kesejahteraan mental.