
KOTA SAMARAHAN: Penduduk Kampung Nangka kini boleh menarik nafas lega selepas projek pasca banjir bagi kerja memulihkan sistem saliran di kawasan tersebut berjaya disiapkan sepenuhnya.
Projek yang dilaksanakan oleh Jabatan Pengairan dan Saliran (DID) Samarahan itu bertujuan mengatasi masalah banjir yang sering melanda kawasan rendah terutama ketika musim hujan lebat.
Sesi penyerahan tapak projek siap telah diadakan di Kampung Nangka, disaksikan oleh wakil-wakil penduduk serta agensi pelaksana.
Projek berkenaan merupakan sebahagian daripada inisiatif kerajaan untuk meningkatkan infrastruktur saliran di kawasan luar bandar bagi memastikan kesejahteraan dan keselamatan penduduk terjamin.
Penduduk turut menzahirkan penghargaan kepada Ahli Parlimen Kota Samarahan, Datuk Rubiah Wang atas keprihatinan beliau dalam memperjuangkan projek yang memberi manfaat langsung kepada komuniti setempat.
Ketua Kaum Kampung Nangka, Minggu Julang, menzahirkan rasa syukur atas pelaksanaan projek berkenaan yang disifatkannya sebagai satu kelegaan besar kepada penduduk kampung.
“Dulu setiap kali hujan lebat, air cepat naik dan menenggelamkan halaman rumah serta jalan utama. Sekarang keadaan jauh lebih baik, air mengalir dengan lancar dan tidak lagi bertakung seperti dulu,” katanya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada kerajaan dan wakil rakyat yang prihatin terhadap keperluan masyarakat luar bandar.
“Kami amat berterima kasih kepada Datuk Rubiah Wang dan pihak DID Samarahan kerana mendengar keluhan kami. Projek ini bukan sahaja menyelesaikan masalah banjir dan parit sumbat, tetapi juga meningkatkan keselamatan dan keselesaan penduduk Kampung Nangka,” ujarnya.
Oleh Norman B.