DISERAHKAN… Pengarah JKR Sarawak, Ir Richard Tajan menyerahkan Surat Setuju Terima kepada Tan Sri Datuk Ling Chiong Ho daripada Syarikat Pekerjaan Piasau Konkerit Sdn. Bhd. sambil disaksikan Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg di Dewan Suarah Marudi, semalam.
MARUDI: Projek ‘sakit’ pembinaan jambatan Marudi diselamatkan dengan pelantikan kontraktor baharu.
Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, pembinaan itu dijangka siap dalam tempoh 24 bulan iaitu menjelang akhir 2024.
“Dengan (pemilihan) kontraktor penyelamat, saya yakin jambatan Marudi dapat disiapkan dalam tempoh itu kerana syarikat ini pernah membina jambatan Long Lama iaitu jambatan Datuk Sri Adenan.
“Sebelum ini, pembinaan jambatan Marudi menghadapi banyak masalah dengan kontraktor lama yang terpaksa diberhentikan menerusi prosedur yang ada dan memilih kontraktor baharu.
“Saya dan Timbalan Premier Datuk Amar Douglas Uggah Embas mencari kaedah untuk meneruskan pembinaan jambatan ini dan akhirnya masalah berkenaan dapat diselesaikan,” katanya di Dewan Suarah Marudi dalam lawatan kerja ke sini, semalam.
Abang Johari berkata, dengan siapnya jambatan itu nanti, akan memudahkan orang ramai berulang alik dari Miri ke Marudi, khasnya di kawasan Baram.
Katanya, kemudahan itu akan membawa lebih banyak pembangunan ke kawasan Baram di bawah Agensi Pembangunan Tanah Tinggi (HDA) dan meneruskan pembinaan projek jalan besar yang akan sampai ke Sungai Melinau.
“Pembinaan jalan ini akan mengambil masa sekurang-kurangnya lima atau enam tahun untuk siap memandangkan jalan yang panjang dan kos pembinaannya juga tinggi,” katanya.
Beliau berkata, apabila projek itu siap, ia akan membuka kawasan Baram sekali gus memesatkan lagi kegiatan ekonomi di kawasan Baram.
Bagaimanapun katanya, untuk membina jalan itu memerlukan perancangan, sejajar matlamat menjadikan Sarawak negeri maju menjelang 2030.
“Sebab itu, infrastruktur ini akan terus dilaksanakan dan dengan ada kemudahan perhubungan, ia akan dapat melonjakkan lagi pembangunan di luar bandar,” katanya.
Menyentuh mengenai bekalan air bersih di kawasan Poyut/Nibong yang dicadangkan pihak Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB) beliau berkata, ia perlu ditukarkan dengan yang baharu untuk meningkatkan tekanan air.
“Saya suruh mereka menukar (kaedah) supaya jika hendak membuat melakukan pengambilan air, perlu di bawa ke darat dan ditarik ke tangki supaya tekanan air itu lebih kuat,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Abang Johari menyatakan pembinaan Projek Tebingan Marudi Fasa Dua juga perlu diubah suai sedikit kerana jika menggunakan dermaga lama, projek tebingan tidak cantik.
“Justeru, ia perlu dibina mengikut (cara) Tebingan Kuching dengan menggunakan jeti terapung, lagi pun Fasa Dua tebingan ini hanya 900 meter (panjang) ke Sekolah Kebangsaan (SK) Dato Sharif Hamid,” katanya.
Beliau berkata, dengan siapnya pembanguan yang dilaksanakan di Marudi, ia akan mengubah landskap pekan ini dan ekonominya meningkat kerana mempunyai tanah pertanian untuk menambah rezeki penduduk di sini.
Turut hadir, Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Setiausaha Kerajaan Sarawak, Dato Sri Mohamad Abu Bakar Marzuki, Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datu Penguang anak ManggIl, Residen Bahagian Miri Abdul Aziz Mohd. Yusuf dan Ahli Parlimen Baram, Anyi Ngau.
Oleh JIKU JUGUONG