RASANYA tidak perlu lagi buat majlis perasmian sesuatu projek, jika akhirnya ia gagal disiapkan.
Kenyataan ini bunyinya agak keterlaluan tetapi jika difikirkan secara rasional, sesuatu projek yang dilancarkan dengan hamparan permaidani memberi harapan menggunung kepada penduduk setempat, akhirnya kecewa kerana projek tak siap-siap. Yang menjadi sasaran kritikan adalah kerajaan.
Terbaharu projek ‘sakit’ ialah pembinaan Jambatan Rambungan berharga RM98.5 juta, yang pada awalnya patut siap Mac 2023 dan kemudian dijadualkan semula siap Jun ini.
Apabila projek itu dilancarkan sebelum ini, penduduk di Lundu mendapat perkhabaran gembira kerana jambatan itu apabila siap akan memendekkan perjalanan ke Kuching. Maka, impian penduduk ialah Hari Raya serta perayaan Gawai Dayak tahun ini adalah buat kali terakhir mereka menggunakan feri.
Namun, kini projek itu bermasalah dan khidmat kontraktornya seperti didedahkan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Datu, Azizul Annuar Adenan, akan ditamatkan.
“Projek ini diklasifikasikan sebagai projek tenat. Saya berharap agar agensi yang bertanggungjawab dalam pembinaan Jambatan Rambungan ini dapat mengambil tindakan yang sewajarnya.
“Ini bagi memastikan pembinaannya dapat diteruskan semula dengan kadar segera,” katanya pada majlis berbuka puasa bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) N3 Tanjong Datu di Lundu kelmarin.
Projek jambatan sepanjang 560 meter itu, iaitu dua lorong sehala adalah sebahagian projek Jalan Pesisir Sarawak.
Februari lalu, Timbalan Menteri Infrastruktur Dan Pembangunan Pelabuhan (Infrastruktur), Aidel Lariwoo berkata, projek itu sepatutnya siap pada Jun tahun ini, namun disebabkan beberapa faktor seperti kekurangan pekerja dan cara kerja yang kurang sistematik, menyebabkannya tergendala.
“Jika tiada sebarang halangan, projek jambatan Rambungan akan disiapkan pada 2024,” katanya.
Menurut Azizul, jambatan Rambungan dianggap sebagai ‘missing link’. Ini kerana pembinaan lapan jambatan di jalan Lundu-Sampadi sudah siap dan Lebuhraya Pan Borneo jajaran Moyan-Telok Melano pula dijangka siap sepenuhnya pada penghujung 2023 ini, tetapi kelewatan berlaku di sebelah Jambatan Rambungan.
Jambatan itu bakal menghubungkan bandar raya Kuching dengan Lundu, Sematan dan Telok Melano.
Ini membolehkan perjalanan dari bandar raya Kuching ke Lundu, Sematan dan Telok Melano, dapat dipendekkan serta tidak lagi terhad mengikut masa operasi feri serta dijangka akan membuka peluang sosioekonomi penduduk di sepanjang kawasan Lundu-Sampadi
Jambatan Batang Rambungan merupakan salah satu projek Jalan Pesisir sepanjang 896 km yang dijadual siap sepenuhnya pada 2025.
Projek itu adalah salah satu projek diteruskan dengan menggunakan dana kerajaan negeri setelah diluluskan Kerajaan Pusat (Barisan Nasional) sebelum ini tetapi ditarik balik ketika pemerintahan Pakatan Harapan (PH).
Penulis pernah membangkitkan isu projek ‘sakit’ sebelum ini dengan harapan sesuatu perlu dilakukan supaya ia tidak terus berulang.
Berdasarkan rekod rasmi, sebanyak 340 projek dikategorikan sebagai ‘projek sakit’ dengan 35 daripadanya kritikal yang terpaksa ditangguhkan di seluruh negeri setakat ini.
Antara alasannya ialah pandemik Covid-19 bermula pada Mac 2020 yang menyumbang kepada keadaan itu menyebabkan kontraktor menghadapi masalah tenaga kerja, kewangan atau bahan binaan selain subkontraktor mereka yang gagal melaksanakannya.
Kini hampir empat tahun sudah berlalu, situasi pandemik telah bertambah baik. Keadaan ekonomi semakin pulih. Warga asing dibenar kembali bekerja di Malaysia, andai tenaga kerja yang menjadi masalah di tapak pembinaan projek.
Saban masa kita dengar pihak pemerintah arahkan semua kontraktor yang dianugerahkan mana-mana projek untuk melaksanakannya mengikut jadual dan dalam kualiti yang diperlukan. Namun, saban masa juga kita dengar projek ‘sakit’ berlaku. Dimana silapnya?
Kini kita juga khuatir setelah Sarawak dan Sabah dibenar melaksanakan projek persekutuan bernilai RM50 juta dan ke bawah tanpa perlu merujuk kepada Putrajaya.
Ini sekali gus akan memberi bebanan kerja kepada agensi pelaksana iaitu Jabatan Kerja Raya (JKR) negeri untuk menguruskannya. Ini bermakna JKR harus memantau prestasi kontraktor dengan lebih teliti. Jika tiada tindakan diambil, keadaan boleh menjadi lebih teruk dan berakhir sebagai projek ‘sakit’.
Memang mudah bagi JKR untuk menamatkan mana-mana kontraktor yang gagal memulakan kerja dalam tempoh sebulan selepas penyerahan tapak projek atau gagal menyiapkan sesuatu projek dalam tempoh yang diberikan. Ini bermakna, JKR perlu menaikkan ‘bendera merah’ apabila sebarang kerja pembinaan tertangguh selama 60 hari.
Baru-baru ini, Ketua Pengarah Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri (JPM), Dato Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz berkata pihaknya diberi tugasan memantau pelaksanaan projek persekutuan di bawah kos RM50 juta di negeri ini. Ini bagi memastikan supaya sesuatu projek itu tidak lewat daripada jadual atau menjadi ‘projek sakit’.
Diharapkan beberapa lagi projek jambatan lain tidak berdepan masalah kelewatan atau menjadi projek ‘sakit’ kerana rakyat mengharapkan tiada lagi penggunaan feri apabila semua projek jambatan utama siap sepenuhya menjelang 2025.
Antaranya, Jambatan Paloh sepanjang 1.7 kilometer (km) dengan kos RM298.98 juta; Jambatan Batang Lassa di Daro sepanjang tiga kilometer berharga RM597 juta; Jambatan Igan bernilai RM285 juta; Jambatan Sungai Krian menelan kos RM174 juta; Jambatan Batang Saribas RM496 juta; Jambatan Kemena di Bintulu bernilai RM467 juta dan Jambatan Batang Lupar dengan kos RM848 juta yang dijangka siap sepenuhnya menjelang 2025.
Apabila siap, jambatan Batang Lupar sepanjang 5.1 km ini bukan sahaja menjadi jambatan paling panjang merentasi sungai di Sarawak bahkan juga antara terpanjang di Malaysia, sekali gus menjadi pelengkap kepada jalan pesisir Sarawak.
Diharapkan semua pihak yang terbabit meneliti permasalahan ini dengan lebih serius.
- Penulis adalah Penasihat Editorial Eksekutif Utusan Sarawak.