ENTAH di mana silapnya apabila terdengar banyak projek ‘sakit’ di sana sini di negeri ini. Apakah sebab pemilihan kontraktor melalui tender terbuka kurang teliti, kontraktor main ‘sub-con’ atau kontraktor kurang keupayaan tapi sanggup ambil risiko mahu laksana projek?
Di Kuala Lumpur beberapa tahun lalu, timbul isu kelewatan Kementerian Kewangan membayar kontraktor antara penyebab projek lewat siap dan projek ‘sakit’.
Rasanya, isu itu tidak berlaku di Sarawak dan seperti kata Timbalan Premier Sarawak, Dato Sri Dr Sim Kui Hian, isu banyak projek sakit di negeri ini bukan disebabkan kekurangan dana Kerajaan Sarawak tetapi lebih disebabkan oleh tender terbuka dan keupayaan kontraktor untuk menyiapkan projek.
“Sistem tender berpilih untuk projek masa depan mungkin diguna pakai. Mungkin pada masa akan datang, bagaimana kita buat tender terbuka, adakah ia berpilih atau apa, daripada orang salah guna sistem tender terbuka atas nama ketelusan,” katanya seperti dilaporkan media baru-baru ini.
Dr Sim tidak menjelas lanjut tetapi ia mungkin berkait dengan pemilihan melalui tender terbuka iaitu kontraktor yang menawarkan harga ‘rahmah’ (paling murah) berjaya diambil tetapi keupayaan sebenar tidak diketahui?
Setakat 27 Januari lalu, daripada 215 projek yang sedang dalam pembinaan di negeri ini, tiga daripadanya digantung, 34 tertangguh secara kritikal, 29 projek lewat daripada dijadualkan dan 149 projek mengikut jadual.
Terbaharu didedahkan sebagai projek ‘sakit’ ialah projek Tebingan Siniawan, sepanjang 120 meter menelan kos RM10.8 juta.
Pembinaan dimulakan pada Oktober 2020 dan pada mulanya dijadualkan siap pada April 2022. Bagaimanapun, projek itu diberi lanjut tempoh masa (EOT) dan paparan kerja tidak memuaskan.
EOT sehingga Ogos tahun lalu sebelum tarikh siap diundur setahun lagi kepada Ogos tahun ini.
Begitu juga projek pembinaan Jalan Sungai Passin ke Jemoreng, Matu yang tergendala sejak tahun lalu, dijangka dilaksanakan semula pada April tahun ini. Jabatan Kerja Raya (JKR) akan melantik kontraktor baharu bagi meneruskan pembinaan jalan sepanjang 17.6 kilometer (km) itu.
Timbalan Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan, Aidel Lariwoo yang meninjau projek itu baru-baru ini berkata, pihaknya telah melihat sendiri tapak projek atau bekas-bekas yang telah ditinggalkan oleh kontraktor dan kontrak asal telah ditamatkan pada Ogos tahun lalu.
“Jalan itu penting sebagai salah satu jalan penghubung dari Jemoreng, Matu ke Sungai Passin dan apabila siap nanti, sudah tentu bekalan api dan air dapat dibawa masuk bersama dari Matu ke kawasan ini.
“Projek ini telah diluluskan oleh Kerajaan Sarawak beberapa tahun lalu untuk dilaksanakan. Namun kontraktor asal yang dilantik gagal menyiapkan projek ini dan cuma mampu menyediakan sehingga tujuh-lapan peratus kemajuan sebelum kontrak mereka ditamatkan.
“Sudah tentu baki yang hendak disempurnakan nanti akan diteruskan oleh kontraktor penyelamat yang akan dilantik oleh JKR tidak lama lagi untuk meneruskan projek ini,” katanya.
Hakikatnya, apabila projek gagal dilaksana dan diberi kepada kontraktor baharu, juga akan memakan kos menjadi lebih tinggi.
Ini kerana proses pemberhentian biasanya mengambil masa lama kerana ia memerlukan penelitian dan mungkin melibatkan prosedur mahkamah dan undang-undang.
Contohnya, Hospital Petra Jaya, projek hospital ditamatkan oleh kerajaan Pakatan Harapan (2018-2020) dan apabila melantik kontraktor baharu, kos akan naik, tetapi kontraktor terdahulu menyaman kerajaan Malaysia. Akhirnya hospital itu akan menjadi hospital yang sangat mahal.
Satu lagi projek terbaharu yang ‘sakit’ ialah pembinaan Loji Rawatan Air Sg Sian Bintangor yang tergendala selama setahun.
Projek ini sepatutnya siap pada 15 April 2022 dalam tempoh 15 bulan.
Namun kemajuan projek itu hanya mencapai 48 peratus setakat ini dan kontraktor penyelamat terpaksa dilantik.
Menteri Utiliti & Telekomunikasi, Datuk Julaihi Narawi berkata, pihaknya tidak dapat menunggu kontraktor yang tidak mampu untuk menyiapkan projek berkenaan.
“Sepatutnya siap 15 April 2022. Sekarang sudah masuk 2023. Maknanya hampir setahun projek ini tergendala.
“Itupun kemajuannya setakat 48 peratus sahaja. Kita tidak boleh tunggu kontraktor yang tidak mampu untuk menyiapkan projek ini,” katanya sambil meminta pihak Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB) untuk mengambil tindakan terhadap mana-mana kontraktor yang gagal menyiapkan projek mengikut jadual.
Menurut Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, sebanyak 340 projek dikategorikan sebagai ‘projek sakit’ dengan 35 daripadanya kritikal yang terpaksa ditangguh, di seluruh negeri setakat ini. Katanya, pandemik Covid-19 yang bermula pada Mac 2020 menyumbang kepada keadaan itu.
“Kita juga mempunyai kontraktor yang menghadapi masalah tenaga kerja, kewangan atau bahan binaan selain subkontraktor mereka yang gagal melaksanakannya. Kini hampir empat tahun berlalu, situasi pandemik telah bertambah baik. Kami mahu semua kontraktor dianugerahkan mana-mana projek untuk melaksanakannya mengikut jadual dan dalam kualiti yang diperlukan.
“Saya meminta semua pejabat Jabatan Kerja Raya (JKR) di Sarawak mulai sekarang supaya bersedia untuk mengambil tindakan keras terhadap mereka yang tidak mencapai prestasi yang diharapkan,” katanya ketika melawat pejabat JKR Bahagian Sibu, baru-baru ini.
Katanya, amat menyedihkan projek untuk kepentingan rakyat masih mengalami kelewatan untuk disiapkan atau paling teruk, tertangguh secara kritikal.
“Jabatan perlu menaikkan bendera merah apabila sebarang kerja pembinaan tertangguh selama 60 hari. Ini bermakna mereka harus memantau prestasi kontraktor dengan teliti. Kami khuatir jika tiada tindakan diambil, keadaan boleh menjadi lebih teruk dan berakhir sebagai projek sakit. Saya juga pernah berkata pada masa lalu bahawa jika kontraktor gagal memulakan kerja dalam tempoh satu bulan selepas penyerahan tapak, JKR boleh meneruskan penamatan kontrak,” katanya.
Uggah berkata, jabatan itu dijangka mengendalikan lebih banyak projek tidak lama lagi memandangkan Sarawak telah diberi kuasa autonomi untuk melaksanakan projek persekutuan bernilai RM50 juta dan ke bawah tanpa merujuk kepada Putrajaya.
“Jadi, itulah sebabnya kecekapan dan produktiviti tinggi kami merupakan aspek yang sangat penting sekarang,” katanya.
Mungkin juga Uggah dan agensi berkaitan membuat penelitian lanjut punca sebenar projek ‘sakit’. SOP pemilihan kontraktor, walaupun menerusi tender terbuka perlu dikaji semula. Malah, mungkin perlu diadakan kursus intensif untuk kontraktor terutama bagi kelas F bagaimana mengendalikan projek dan apa permasalahan sebenar mereka supaya dapat diketahui oleh pihak Kerajaan Sarawak.
Kita tidak mahu projek diumumkan berjuta-juta ringgit tetapi rakyat tertunggu lama bila nak siap, yang akhirnya menjadi ‘projek sakit’. Usaha murni untuk membawa pembangunan kepada rakyat terutama di luar bandar berakhir dengan cacian terhadap pemerintah. Kita tidak mahu perkara ini berlaku.
* Penulis adalah Penasihat Editorial Eksekutif Utusan Sarawak