Projek RTP terus tingkat kemudahan awam di kawasan luar bandar

Facebook
WhatsApp
ADUN Meradong, Datuk Ding Koung Hiing menyaksikan penyerahan siap tapak projek. Foto Pusat Khidmat Meradong

BINTANGOR: Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) terus menjadi pemangkin kepada usaha meningkatkan kemudahan awam dan kesejahteraan masyarakat apabila sebuah gelanggang berbumbung baharu bernilai RM300,000 di Gereja Kai Nguong Methodist berjaya disiapkan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meradong, Datuk Ding Kuong Hiing berkata, pembinaan kemudahan tersebut membuktikan komitmen berterusan kerajaan Sarawak dalam menyediakan infrastruktur yang lebih selesa dan berkualiti bagi memenuhi keperluan rakyat di kawasan luar bandar.

“Pembinaan gelanggang berbumbung ini merupakan salah satu usaha berterusan untuk menyediakan kemudahan yang lebih baik dan selesa kepada pihak gereja serta komuniti setempat.

“Projek yang dilaksanakan di bawah peruntukan RTP DUN Meradong ini bukan sahaja menyediakan kemudahan untuk aktiviti sukan, malah menjadi ruang serba guna bagi pelaksanaan pelbagai program kemasyarakatan.

Beliau berkata demikian kepada media selepas menyaksikan penyerahan siap tapak RTP DUN Meradong bagi projek pembinaan gelanggang berbumbung baharu Gereja Methodist Kai Nguong, semalam.

Koung Hiing berharap gelanggang berbumbung yang telah siap itu dimanfaatkan sepenuhnya oleh pihak Gereja Methodist Kai Nguong dan masyarakat setempat.

“Saya berharap kemudahan yang telah siap ini dapat dimanfaatkan sebaik mungkin oleh pihak Gereja Kai Nguong Methodist dan masyarakat setempat, di samping mengeratkan hubungan serta menggalakkan penglibatan komuniti dalam pelbagai aktiviti,” katanya.

Tambahnya, penyediaan kemudahan awam yang berkualiti akan terus menjadi antara keutamaan beliau dalam memastikan penduduk di kawasan DUN Meradong menikmati pembangunan yang seimbang dan inklusif.

“Saya akan terus memberi perhatian kepada keperluan pembangunan infrastruktur dan kemudahan awam di kawasan DUN Meradong demi meningkatkan kesejahteraan serta kualiti hidup masyarakat setempat.

“Pelaksanaan projek RTP akan terus diperkasakan bagi memastikan lebih banyak kemudahan asas dan infrastruktur dapat disediakan demi memenuhi keperluan rakyat serta menyokong pembangunan komuniti secara menyeluruh di kawasan Meradong,” katanya lagi.

Turut hadir Penolong Jurutera Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarikei, Siti Anastasya Saili; Pemanca Yii Hee Sieng dan Kapitan Ting Pang Keng.

Oleh Earl Anek