
SARATOK: Projek di bawah Program Transformasi Luar Bandar (RTP) terus dilaksanakan di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kalaka bagi memastikan pembangunan infrastruktur dan kemudahan masyarakat setempat sentiasa dipertingkatkan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kalaka, Mohamad Duri berkata pelaksanaan berterusan projek RTP membuktikan komitmen kerajaan negeri untuk menambah baik kemudahan asas serta menyokong kesejahteraan rakyat luar bandar.
“Projek ini bukan sahaja memberi manfaat kepada komuniti sukan tempatan, malah berperanan menggalakkan gaya hidup sihat dan memperkukuh semangat perpaduan dalam kalangan penduduk,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa majlis penyerahan tapak bagi projek menaik taraf Gelanggang Sepak Takraw, salah satu projek RTP DUN Kalaka bagi 2025, yang diadakan baru-baru ini.
Projek tersebut dilaksanakan oleh Majlis Daerah Saratok selaku agensi pelaksana dengan kerjasama kontraktor yang telah dilantik.
“Pelaksanaan projek RTP seperti ini jelas menunjukkan keprihatinan kerajaan negeri dalam memperkukuh jaringan pembangunan di kawasan luar bandar, seiring dengan aspirasi menjadikan Sarawak maju menjelang 2030.
Turut hadir Timbalan Ketua Cawangan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Kalaka, Kaunselor Kasdi Pandi, Setiausaha Kehormat PBB Cawangan Kalaka, Gapor Ahmad serta wakil Majlis Daerah Saratok, Suriati David Thomas.
Oleh Adi Safarman