
MARUDI: Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Dr Penguang Manggil, turun padang melawat pelaksanaan beberapa Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) di sini, semalam.
Antara projek rakyat yang dilawati beliau ialah projek menaik taraf Dewan Suarah Marudi yang menelan kos RM2 juta, projek menaik taraf bangunan Persekutuan Perkumpulan Wanita Sarawak (PPWS) Kampung Pemindahan Fasa 1 dengan kos RM200,000 serta projek menaik taraf jalan masuk ke rumah-rumah di Kampung Narum, Marudi, yang melibatkan perbelanjaan sebanyak RM300,000.
Turut dilawati ialah projek sambungan bumbung pentas utama Tebingan Sungai Marudi serta kerja-kerja penaiktarafan kotak pengagihan elektrik dengan kos RM198,000, selain pembinaan Gereja BEM Sungai Arang di bawah peruntukan Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (UNIFOR) yang melibatkan kos pembinaan sebanyak RM250,000.

Dalam pada itu, beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Marudi turut menggesa Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) agar terus memberikan sokongan kepada kerajaan sedia ada pada Pilihan Raya Negeri ke-13 (PRN13) akan datang.
Menurut beliau, sokongan kepada kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) amat penting bagi memastikan kesinambungan agenda pembangunan demi masa depan generasi akan datang.
“Sudah terbukti kerajaan GPS telah banyak membantu rakyat di kawasan Marudi serta menyalurkan peruntukan yang besar melalui Projek Kecil Luar Bandar (MRP) bagi pembangunan rakyat di kawasan ini,” katanya.
Oleh Jiku Juguong