
Foto: ADUN Simanggang
SIMANGGANG: Projek Program Transformasi Luar Bandar (RTP) terus menjadi antara kaedah penting penyaluran pembangunan fizikal di Sarawak menerusi peruntukan tahunan berjumlah RM5 juta kepada wakil rakyat Gabungan Parti Sarawak (GPS).
Timbalan Menteri Pembangunan Bakat, Datuk Francis Harden Hollis berkata, peruntukan itu digunakan bagi membiayai projek infrastruktur asas serta kemudahan yang memberi manfaat terus kepada komuniti setempat.
Menurut beliau, antara lokasi bakal projek RTP yang dilawati ialah cadangan tambahan lintasan konkrit bertetulang bagi kediaman penduduk di Rumah Ipan Chupong, Kampung Pruan C.
Selain itu, beliau turut meninjau tapak cadangan rumah panjang baharu Rumah Charli Ata di Kampung Pruan A, yang dijangka meningkatkan keselesaan dan kesejahteraan penduduk setempat.
Harden yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simanggang turut berkesempatan melawat tapak projek naik taraf sistem perparitan di Rumah Duman Gunggang, Kampung Sri Kejatau.
Beliau berkata, lawatan tersebut bertujuan mendapatkan maklum balas secara langsung daripada tuai rumah selaku Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) supaya keperluan sebenar rakyat dapat dikenal pasti.
Menurutnya, kerajaan Sarawak komited meneruskan usaha merapatkan jurang pembangunan antara masyarakat di kawasan pedalaman dengan penduduk bandar melalui pelaksanaan projek berimpak tinggi.
Sehubungan itu, beliau menegaskan rakyat perlu terus memberi sokongan kepada wakil rakyat yang bekerja demi memastikan agenda pembangunan dapat diteruskan dalam suasana politik yang stabil.
Beliau berkata demikian ketika mengadakan lawatan tapak projek RTP di sekitar kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simanggang semalam, yang turut dihadiri beberapa tuai rumah serta Ahli Majlis Majlis Daerah Sri Aman.
Oleh Adi Safarman