Projek RTP naik taraf jalan sokong pembangunan rumah panjang baharu di Selangau

Facebook
WhatsApp
NAIKTARAF…Jalan Rumah Magdelene yang akan dinaiktaraf menggunakan peruntukan RTP.

SIBU: Projek naik taraf jalan ke Rumah Panjang Magdelene Entayang di Jalan Dijih, Selangau yang dilaksanakan di bawah Program Transformasi Luar Bandar (RTP) DUN Tamin dijangka memudahkan pembinaan penempatan baharu komuniti itu.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tamin Ir Christopher Gira Sambang berkata projek pembinaan jalan konkrit sepanjang 300 meter dan selebar lima meter itu turut menyediakan akses yang lebih baik kepada 26 isi rumah di Rumah Magdelene.

Menurutnya, komuniti berkenaan kini sedang membina rumah panjang baharu secara berperingkat melalui usaha penduduk sendiri mengikut kemampuan dan keperluan mereka.

“Apabila masyarakat sendiri mengambil inisiatif untuk membangunkan penempatan yang lebih baik, kita perlu membantu dari aspek kemudahan asas yang bersesuaian supaya usaha mereka dapat berjalan dengan lebih lancar,” katanya dalam hantaran di media sosial.

Kerja pembinaan jalan berkenaan bermula pada 20 Ogos dan dijadualkan siap pada 19 Disember tahun ini, dengan Jabatan Kerja Raya (JKR) Bahagian Sibu bertindak sebagai agensi pelaksana.

Menurut Gira, pembinaan jalan konkrit itu penting bagi memudahkan pergerakan penduduk serta pengangkutan bahan binaan dan urusan keluar masuk ke kawasan penempatan sepanjang proses pembinaan rumah panjang baharu berkenaan.

Beliau berkata pembangunan kemudahan asas perlu bergerak seiring dengan perkembangan komuniti, terutama apabila penduduk sendiri mengambil inisiatif membangunkan penempatan demi meningkatkan keselesaan dan keselamatan kehidupan mereka.

Projek itu dijangka bukan sahaja menyokong kelancaran pembinaan rumah panjang baharu, malah menjadi kemudahan akses utama kepada komuniti berkenaan selepas penempatan itu siap sepenuhnya.

Gira berkata keperluan masyarakat sentiasa menjadi antara pertimbangan utama dalam pelaksanaan projek RTP di DUN Tamin, dengan tumpuan diberikan kepada kemudahan yang memberi manfaat secara langsung kepada penduduk.

Sesi serah tapak projek turut dihadiri pegawai JKR Bahagian Sibu, Tuai Rumah Magdelene bersama penduduk, pihak kontraktor serta wakil Pusat Khidmat DUN Tamin, Kaunselor Nyireng Saleh dan Kaunselor Ajan Dau.

Oleh Tarani Lanting