
SEMATAN: Satu lawatan tapak Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Opar telah diadakan bagi meninjau pelaksanaan beberapa projek penaiktarafan kemudahan sekolah di Daerah Lundu dan Daerah Kecil Sematan.
Lawatan tapak tersebut diketuai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Opar, Billy Sujang, melibatkan dua sekolah iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sematan dan SMK Lundu semalam.
Di SMK Sematan, antara projek yang ditinjau ialah kerja-kerja menaik taraf Dewan Serbaguna serta penaiktarafan gelanggang permainan sekolah bagi meningkatkan kemudahan aktiviti kokurikulum dan perhimpunan warga sekolah.

Sementara itu, lawatan ke SMK Lundu melibatkan pemeriksaan projek menaik taraf Dewan Makan, dapur sekolah serta kerja-kerja membaik pulih bilik darjah Tingkatan Enam.
Program lawatan tapak ini bertujuan menilai pelaksanaan dan kemajuan projek RTP agar kemudahan pendidikan yang lebih selesa, selamat dan kondusif dapat disediakan kepada warga sekolah di Lundu dan Sematan.