MARUDI: Menteri Muda Kerajaan Tempatan Datu Dr Penguang Manggil berkata semua projek Pembangunan Luar Bandar (RTP ), projek rakyat dan lain-lain projek akan diteruskan mengikut perancangan awal.
Katanya semua projek tersebut terpaksa ditangguhkan lebih tiga bulan ekoran mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) susulan penularan wabak Covid-19.
Tegasnya penangguhan projek-projek tersebut bagi mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) ketika Perintah Kawalan Pergerakan dilaksanakan (PKP) bagi mematuhi arahan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Jawatankuasa Bencana Negeri.
Dalam pada itu jelas Penguang pelaksanaan projek tersebut ada sedikit perubahan yang akan diumumkan dalam masa terdekat.
Sehubungan itu tambah Penguang, beliau akan turun padang dalam masa terdekat dan akan melawat ke kawasan rumah-rumah panjang dan kampung secara bersantai.
Katanya lawatan ini nanti hanya melibatkan majlis yang kecil sahaja dengan melibatkan antara 200 sehingga 250 orang dengan mengamalkan jarak sosial serta kebersihan kendiri.
“Sebagai wakil rakyat di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) N.76 Marudi dan mewakili Kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang memerintah, saya akan turun padang seperti sebelum ini dan akan melaksanakan beberapa projek di kawasan Marudi demi untuk rakyat,”katanya.
Beliau berkata demikian ketika mengadakan pertemuan singkat dengan Ketua-Ketua Mayarakat, Ketua-Ketua Kaum di Pusat Khidmat N.76 Marudi.
Dalam pertemuan tersebut Datu Dr Penguang yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri N.76 Marudi turut menyentuh projek-projek baru yang akan dilaksanakan seperti Jalan Miri / Marudi ke Mulu dan Long Lama dan membincangkan isu-isu pembanguan semasa.
Dalam pada itu beliau menzahirkan terima kasih kepada semua masyarakat pelbagai kaum di daerah ini kerana telah memberi kerjasama baik ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), Perinatah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) dan mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) dan berjaya mengekalkan Marudi sebagai Zon hijau.
Beliau juga menzahirkan rakaman terima kasih kepada barisan hadapan seperti Jabatan Kesihatan, Polis, Bomba, Rela, Jabatan Pertanahan Awam, pejabat Residen, pejabat Daerah, Majlis Daerah Marudi, Ketua-Ketua Masyarakat dan Ketua-Ketua Kaum yang telah memberi kerjasama sepanjang PKP dilaksanakan.
“Terima kasih kepada kumpulan ini yang juga berusaha membantu baik secara langsung mahupun tidak langsung atas kejayaan dalam mengagihkan bantuan makanan semasa PKP meskipun menghdapi pelbagai kesukaran dan cabaran,” katanya.
Dalam pada itu Penguang juga menzahirkan kemaafan kerana tidak dapat bersama rakyat semasa sambutan Hari Raya dan Hari Gawai yang disambut cara normal baharu baru-baru ini.
Sehubungan itu beliau menyeru kepada semua rakyat supaya bijak menilai dan memilih wakil rakyat yang jujur, berjiwa rakyat dan mengutamakan kepentingan rakyat daripada kepentingan diri sendiri.
Oleh Jiku Juguong