
SEBAUH: Pelaksanaan projek Transformasi Luar Bandar (RTP) di daerah Sebauh terus memperkukuh kemudahan asas penduduk apabila beberapa projek infrastruktur berjaya disiapkan, sekali gus meningkatkan tahap akses serta keselamatan komuniti rumah panjang.
Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah, Stephen Rundi Utom berkata, usaha menaik taraf kemudahan tersebut memberi kesan langsung terhadap kehidupan harian penduduk luar bandar.
Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kemena itu, projek yang dilaksanakan melibatkan kerja menaik taraf jalan serta kemudahan tempat letak kenderaan.

Projek tersebut melibatkan naik taraf jalan masuk ke Rumah Egar Andil di Sungai Sebetau, jalan seberang Rumah Sta Liban di Sungai Ensaie Ulu serta kemudahan tempat letak kereta di Rumah Roslind Sanggau Ragai di Sungai Lanying, Gerong.
“Ini bukan sahaja memudahkan pergerakan penduduk, malah meningkatkan aspek keselamatan dan keselesaan terutama dalam urusan harian,” katanya semasa lawatan kerja beliau ke tapak projek RTP di salah satu lokasi sekitar Sebauh di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Dr Rundi menasihatkan penduduk agar lebih berwaspada terutama ketika musim panas bagi mengelakkan kejadian tidak diingini.
Beliau turut mengingatkan kepentingan kesiapsiagaan dalam menghadapi ketidaktentuan semasa termasuk aspek keselamatan makanan.
“Dalam keadaan dunia yang tidak menentu ketika ini, kita perlu bersedia dan berusaha memastikan bekalan makanan mencukupi,” ujarnya.


Dalam perkembangan sama, beliau turut menyaksikan penyerahan bahan binaan di bawah Projek Bantuan Ehsan Kebakaran Rumah (BEKR) kepada penduduk Rumah Lapit @ Lapie Lai di Sungai Binai.
Bantuan tersebut bertujuan meringankan beban penduduk yang terjejas akibat kebakaran selain membantu mereka membina semula kediaman.
Oleh Carolyne Utih