
PETRA JAYA: Projek Tebatan Banjir Sungai Sinjan bernilai RM41.9 juta dijangka siap sepenuhnya pada Oktober tahun hadapan, sekali gus menjadi penyelesaian jangka panjang kepada masalah banjir di kawasan Matang dan sekitarnya.
Tinjauan ke tapak projek tersebut diketuai oleh Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Datuk Amar Fadillah Yusof, di sini, hari ini.
Projek berkenaan merupakan sebahagian daripada inisiatif Projek Pembangunan Lembangan Sungai Bersepadu (PLSB) Sungai Sarawak bernilai keseluruhan RM191 juta, yang melibatkan tiga pakej utama bagi memperkukuh sistem saliran serta mengurangkan risiko banjir di kawasan berisiko tinggi.

Antara komponen utama pelaksanaan termasuk pembinaan kolam takungan kering, sistem saliran konkrit serta struktur kawalan aliran air bagi meningkatkan kecekapan pengurusan air terutama ketika hujan lebat.
Apabila siap kelak, projek ini dijangka memberi manfaat kepada lebih 2,800 penduduk selain melindungi kawasan seluas lebih 330 ekar daripada ancaman banjir, sekali gus meningkatkan tahap keselamatan dan kualiti hidup komuniti setempat.
Dalam lawatan itu, beliau turut meninjau jajaran sistem saliran baharu serta kerja-kerja mendalam dan melebarkan sungai yang menjadi komponen penting dalam meningkatkan kapasiti aliran air.