Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • WILAYAH
  • Projek RM180 juta bekalan air pacu pembangunan Machan
  • Tengah
  • WILAYAH

Projek RM180 juta bekalan air pacu pembangunan Machan

Utusan Sarawak 7 hours ago
TAHNIAH… Allan menyerahkan sijil pelantikan KMKK kepada salah seorang penerima semalam.

KANOWIT: Beberapa projek pembangunan berimpak tinggi yang diluluskan di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Machan dijangka membawa perubahan besar kepada kesejahteraan rakyat, khususnya dalam aspek infrastruktur asas dan jaringan perhubungan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Machan, Allan Siden Gramong berkata, antara projek utama ialah projek bekalan air bernilai RM180 juta yang bakal memanfaatkan penduduk di Majau, Poi dan Batu Luking.

Menurut beliau, projek berkenaan telah lama mendapat kelulusan daripada Premier Sarawak, namun hanya kini dapat dilaksanakan.

“Projek ini sebenarnya telah diluluskan lebih awal, tetapi baru sekarang ia direalisasikan. Kontraktor telah dikenal pasti dan kerja pembersihan tapak sedang dijalankan berhampiran Jambatan Kanowit,” katanya ketika berucap sebelum menyampaikan sijil pelantikan kepada 94 Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) Machan di sini, semalam.

Selain projek bekalan air, Allan turut memaklumkan dua projek jalan raya utama telah diluluskan, masing-masing melibatkan laluan dari Ulu Machan ke Nanga Jerangku dengan kos melebihi RM30 juta serta satu lagi projek jalan di Poi yang turut menelan belanja lebih RM30 juta.

Beliau menegaskan, pembinaan jalan tersebut amat penting bagi meningkatkan akses penduduk luar bandar, sekali gus memendekkan masa perjalanan dan merancakkan aktiviti ekonomi setempat.

Dalam perkembangan lain, Allan berkata projek pembangunan Kanowit Pusat Perniagaan Bersepadu (KBIC) di kawasan pekan turut diluluskan, termasuk pembinaan sebuah dewan masyarakat baharu.

“Dengan adanya KBIC, Kanowit akan memiliki kemudahan dewan masyarakat yang lebih selesa untuk kegunaan majlis rasmi dan aktiviti komuniti. Semua projek ini telah diluluskan dan kini dalam fasa pelaksanaan,” jelasnya.

Sementara itu, daripada 94 KMKK yang menerima sijil pelantikan, sembilan adalah lantikan baharu manakala 85 lagi merupakan pelantikan semula termasuk dua penghulu.

Allan turut mengingatkan KMKK agar melaksanakan tanggungjawab dengan penuh kesabaran dan dedikasi kerana mereka berperanan sebagai penghubung antara rakyat dan wakil rakyat.

“Anda adalah jambatan yang menyampaikan suara rakyat kepada kerajaan dan sebaliknya. Pastikan maklumat mengenai dasar serta inisiatif kerajaan disampaikan dengan jelas supaya rakyat dapat memahami dan memanfaatkannya,” katanya.

Terdahulu, Pegawai Daerah Kanowit, Cerisologo Sabut memaklumkan setiap pelantikan KMKK melalui proses saringan yang ketat sebelum diluluskan.

“Semua calon ditapis dan perlu mendapat sokongan panel penilai. Individu yang mempunyai rekod jenayah tidak layak dilantik sebagaimana diperuntukkan undang-undang,” tegasnya.

Beliau turut menasihati Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) agar mengurus pentadbiran rumah panjang secara teratur, termasuk menghantar minit mesyuarat lebih awal bagi melancarkan proses pembayaran elaun kehadiran mesyuarat.

Turut hadir Setiausaha Politik kepada Menteri Perpaduan Dr Stephen William, Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak Petrus Igat, wakil Residen Sibu Macgyver Boi serta bekas ADUN Machan Dato Sri Gramong Juna.

Oleh Tarani Lanting

Tags: wilayah

Continue Reading

Previous: Harga berpatutan, makanan tradisional terus tarik pengunjung ke kampung-kampung di Jepak
Next: Musim bubuk kembali, nelayan kongsi cabaran di sebalik hasil lumayan

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.