
SELANGAU: Projek Pembangunan Semula Sekolah Daif di Sarawak di bawah peruntukan RM1 bilion mencatat satu lagi pencapaian apabila 85 sekolah daif kritikal berjaya disiapkan, sekali gus memberi manfaat kepada ribuan murid di seluruh negeri.
Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat, Dato Sri Roland Sagah Wee Inn berkata, pencapaian itu membuktikan kerjasama erat antara Kerajaan Persekutuan dan kerajaan Sarawak berjaya mengatasi pelbagai cabaran dalam membangunkan semula sekolah uzur secara lebih cepat, sistematik dan berkualiti.
“Sehingga kini, pelaksanaan projek RM1 bilion menunjukkan kemajuan yang amat memberangsangkan apabila 85 sekolah daif kritikal berjaya disiapkan sepenuhnya dan kini dimanfaatkan oleh ribuan murid di seluruh Sarawak.
“Setiap projek yang disiapkan bukan sekadar menambah baik infrastruktur, malah membuka lembaran baharu kepada pembangunan pendidikan di negeri ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian Projek Pembangunan Semula Sekolah Daif di Sarawak di bawah peruntukan RM1 bilion di Sekolah Kebangsaan (SK) Dato Penghulu Imban, Sekuau, hari ini.
Sagah berkata, di Daerah Selangau, lima sekolah daif berjaya dibangunkan semula menerusi projek berkenaan, iaitu SK Dato Penghulu Imban, SK Batu 36, SK Dijih, SK Sungai Sepiring dan SK Sangan Iban.
Menurutnya, penyiapan kemudahan infrastruktur baharu itu mencerminkan komitmen berterusan kerajaan dalam meningkatkan kualiti fasiliti pendidikan, khususnya di kawasan luar bandar.
“Infrastruktur yang berkualiti merupakan asas penting dalam menyokong sistem penyampaian pendidikan yang berkesan.
“Kemudahan yang lengkap membolehkan proses pengajaran dan pembelajaran dilaksanakan secara optimum, sekali gus membantu melahirkan modal insan yang berilmu, berkemahiran dan berdaya saing,” katanya.
Mengulas mengenai SK Dato Penghulu Imban, beliau berkata projek pembangunan semula sekolah itu melibatkan kos keseluruhan RM8.4 juta.
Katanya, skop projek merangkumi pembinaan sebuah blok akademik yang menempatkan 12 bilik darjah, sebuah blok pentadbiran, empat unit kuarters guru serta tandas murid lelaki, perempuan dan tandas guru yang lengkap.
“Projek ini bermula pada 27 Oktober 2021, siap sepenuhnya pada 31 Ogos 2023 sebelum memperoleh Sijil Siap Kerja Praktikal (Certificate of Practical Completion, CPC) pada 25 September 2023.
“Kemudahan baharu ini bukan sekadar menggantikan bangunan lama yang uzur, malah menjadi simbol komitmen kerajaan dalam memastikan murid di kawasan luar bandar menikmati kemudahan pendidikan yang setanding dengan sekolah di kawasan bandar,” katanya.
Turut hadir Setiausaha Tetap Kementerian Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Datu Adana Jed, Pengarah Jabatan Pendidikan Omar Mahli, Pegawai Pendidikan Daerah Selangau, Ringgit @ Gawan Saut serta Guru Besar SK Dato Penghulu Imban, Bonaventure Tibong.
Oleh Akun Giman