KUCHING: Kerajaan Sarawak meluluskan cadangan agar projek rintis Sistem Pengurusan Antirasuah (ABMS) MS ISO 37001:2016 dapat dilaksanakan pada tahun ini yang melibatkan enam agensi kerajaan.
Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Amar Jaul Samion berkata, enam agensi yang terlibat dengan ABMS adalah Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Jabatan Ketua Menteri Sarawak, Jabatan Hutan Sarawak, Jabatan Agama Islam Sarawak, Perbadanan Perhutanan Sarawak (SFC) dan Lembaga Pembangunan Koridor Wilayah (RECODA).
Jelasnya, MS ISO 37001:2016 ABMS merupakan satu sistem kawalan dalaman sesebuah organisasi bagi mengesan, mencegah, mengendali, menguatkuasa, menilai serta menambahbaik pengurusan anti rasuah secara lebih berkesan.
“Dalam konteks ABMS ini, pada 16 Mei 2019, Kerajaan Sarawak telah mengeluarkan Pekeliling Integriti Negeri Sarawak Bilangan 3 Tahun 2019 iaitu berkenaan Garis panduan Pelaksanaan MS ISO 37001:2016 ABMS Dalam Perkhidmatan Negeri Sarawak.
“Ini adalah sejajar dengan inisiatif 2.1.3 di dalam Pelan Anti Rasuah Kebangsaan (NACP) iaitu memperkenalkan pensijilan ABMS di semua agensi kerajaan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Pelancaran Projek Rintis MS ISO 37001:016 Sistem Pengurusan Antirasuah di sini, semalam.
Jelas Jaul, ABMS menggariskan pelbagai polisi dan prosedur yang boleh dipatuhi dan digunakan oleh organisasi sebagai ukuran kawalan sistem pencegahan rasuah.
Menurutnya, ia akan membantu organisasi melaksanakan sistem pengurusan yang efektif dalam mencegah, mengesan dan menangani rasuah yang boleh berlaku dalam sesebuah organisasi.
“Sebagai enam agensi Kerajaan Negeri yang dipilih sebagai ‘pilot project’ pensijilan ABMS ini, jabatan dan agensi yang terlibat harus berasa bangga.
“Ini kerana pensijilan agensi tuan-tuan dan puan-puan akan menjadi perintis, menjadi penanda aras dan menjadi rujukan kepada kementerian, jabatan dan agensi lain untuk melaksanakan inisiatif yang sama kelak,’ ujarnya.
Turut hadir, Pengarah Unit Integriti & Ombudsman Negeri Adana Jed, Ketua Pegawai Eksekutif, Sarawak Forestry Corporation Zolkipli Mohamad Aton dan Pengarah Unit Pentadbiran Nicholas Sia.