

MIRI: Projek Rakyat Taman Awam Miri Fasa 4 Zon B- Taman Tebing Batu dan Hutan yang telah siap sepenuhnya masih memerlukan beberapa penambahbaikan, khususnya melibatkan sistem saliran dan penyediaan kemudahan mesra orang kurang upaya (OKU).
Menteri Pengangkutan, Dato Sri Lee Kim Shin berkata, perkara itu dikenal pasti semasa lawatan tapak ke projek berkenaan hari ini.
Menurut beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senadin, projek yang dilaksanakan oleh Majlis Bandaraya Miri (MBM) itu mencapai siap praktikal pada 22 Disember 2025 selepas tempoh pembinaan selama 18 bulan, namun sistem saliran dalaman didapati masih kurang berkesan dan memerlukan penambahbaikan segera.
Beliau turut menegaskan kepentingan menyediakan kemudahan mesra OKU bagi memastikan taman awam tersebut dapat diakses dengan selesa oleh semua lapisan masyarakat.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau mencadangkan kesinambungan projek melalui pembangunan Fasa Kedua iaitu Taman Ekologi, termasuk pembinaan Green Wall of Miri menggunakan Eco Brick yang berpotensi menjadi ikon hijau baharu bandar raya Miri serta menyokong aspirasi Miri Bandaraya Hijau.
Projek berkenaan merupakan cadangan yang telah dikemukakan lebih dua tahun lalu kepada Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg dan kemudiannya diluluskan di bawah inisiatif Projek Rakyat dengan peruntukan berjumlah kira-kira RM1.5 juta.
Pembangunan taman awam ini bertujuan menyediakan ruang rekreasi yang selesa dan mesra alam kepada penduduk, selain memperindahkan landskap bandar Miri serta menggalakkan gaya hidup sihat dalam kalangan komuniti setempat.
Oleh Liong Chai Ling